Bank Islam sedia bantu pelanggan pasca-moratorium | DagangNews Skip to main content

Bank Islam sedia bantu pelanggan pasca-moratorium

BIMB

KUALA LUMPUR 6 Julai - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menggalakkan para pelanggannya yang terjejas akibat COVID-19 untuk menghubungi Bank bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium selama enam bulan dijadualkan tamat pada bulan September.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya peka kepada keperluan para pelanggan dan secara proaktif telah menyediakan pelbagai penyelesaian berdaya maju untuk membantu mereka mengatasi keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik yang memberi kesan kepada perniagaan kecil dan runcit.

muazzam
Mohd Muazzam Mohamed


Menurut beliau, segmen tersebut juga merupakan kumpulan portfolio pembiayaan terbesar Bank. COVID-19 membawa cabaran yang tidak pernah dijangka, dan kesukaran yang dialami semua pihak adalah berbeza.

Sehubungan itu ujar beliau, bank-bank telah memberi moratorium selama 6 bulan, dan pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh tersebut.

"Sepanjang 6 bulan pelaksanaan moratorium, Bank Islam telah membantu lebih daripada 394,000 pelanggan daripada segenap segmen. 

“Pelan strategik telah dirangka dan Bank Islam sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi keutamaan serta mereka bersedia untuk mencari jalan keluar daripada persekitaran yang mencabar ini. Apa yang perlu dilakukan hanyalah datang untuk berbincang dengan kami.” tambah Mohd Muazzam.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkenaan alternatif penyelesaian bayaran Bank Islam, pelanggan dinasihatkan ke cawangan Bank Islam berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-26900900

Bank Islam Malaysia Berhad, anak syarikat kepada BIMB Holdings Berhad, ditubuhkan pada 1983 sebagai bank Islam pertama di Malaysia.

Sehingga kini, Bank Islam mempunyai 144 cawangan dan lebih daripada 900 terminal layan diri di seluruh negara. Bagi memenuhi keperluan kewangan masyarakat Malaysia umumnya, Bank Islam menawarkan lebih daripada 70 produk dan perkhidmatan perbankan berlandaskan Syariah untuk memenuhi keperluan penganut agama Islam dan bukan Islam.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan Bank Islam, sila lawat www.bankislam.com atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900. - DagangNews.com