Bank Islam turunkan kadar BR, BFR | DagangNews Skip to main content

Bank Islam turunkan kadar BR, BFR

BANK ISLAM

KUALA LUMPUR 8 Julai - Bank Islam Malaysia Berhad memutuskan untuk menurunkan Kadar Asas (BR) sebanyak 25 mata iaitu daripada 2.77% kepada 2.57% serta Kadar Pembiayaan Asas (BFR) daripada 5.72% kepada 5.47% berkuat kuasa 10 Julai 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, keputusan itu sejajar dengan langkah penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia iaitu daripada 2.00% kepada 1.75%.

"Pelarasan itu adalah termasuk kadar deposit sebanyak 25 mata asas. Semakan ini tepat pada masanya memandangkan tempoh moratorium akan berakhir dan kami menjangkakan langkah ini akan mengurangkan kesan pascamoratorium yang dialami majoriti pelanggan kami dengan meringankan komitmen bayaran semula ansuran bulanan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed

 

"Kami terus komited untuk menawarkan pelbagai kaedah penyelesaian kewangan termasuk khidmat rundingan berkenaan pengaturan pembayaran pembiayaan kepada pelanggan yang terjejas akibat wabak COVID-19," jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bank Islam kini mempunyai 144 cawangan dan lebih daripada 900 terminal layan diri di seluruh negara selain lebih daripada 70 produk dan perkhidmatan perbankan berlandaskan Syariah.

Terdahulu, semakan terakhir BR Bank Islam telah dibuat pada 12 Mei 2020 dengan penurunan daripada 3.27% kepada 2.77%, manakala BFR pula diturunkan daripada 6.22% kepada 5.72%. - DagangNews.com