Pengerusi Bank Pembangunan, Datuk Seri Nazir Razak
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Bank Pembangunan Malaysia Bhd. menawarkan 5 skim pembiayaan berjumlah RM5.6 bilion mencerminkan usahanya dalam menyokong pemulihan ekonomi negara.
Skim itu menyasarkan sektor strategik utama merangkumi pendigitalan, kelestarian, maritim dan logistik, pelancongan dan pengangkutan awam.
Pengerusi Bank Pembangunan, Datuk Seri Nazir Razak berkata, sebagai institusi pembangunan kewangan, pihaknya memainkan peranan penting untuk membantu perniagaan dan pemulihan ekonomi setelah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Katanya, dalam berdepan situasi yang tidak pernah terjadi sebelum ini, BPMB harus meningkatkan pinjaman dengan melihat kepada daya maju perniagaan dalam tempoh jangka masa panjang dan menyediakan sokongan kepada mereka untuk berdepan tempoh mencabar ini.
"Sejak penubuhannya lagi, BPMB merupakan rakan kongsi perniagaan yang kukuh dalam menyokong perkembangan ekonomi Malaysia dan menaikkan taraf hidup rakyat berpandukan kepada visi dan misi sebagai rakan peneraju pembangunan di negara ini.
"Sehubungan itu, kami akan terus mengukuhkan fokus ini dengan mengambil kira kepentingan kepada negara buat masa ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
BPMB mengalu-alukan semula perniagaan dan projek dalam sektor berkenaan yang layak untuk mengemukakan permohonan masing-masing.
Setakat ini, skim ini yang diumumkan kerajaan sebelum itu, menyaksikan sebanyak RM2.4 bilion telah mendapat kelulusan penggunaan, manakala RM3.2 bilion sedia untuk digunakan. - DagangNews.com