Bank Rakyat lantik dua ahli lembaga pengarah baharu | DagangNews Skip to main content

Bank Rakyat lantik dua ahli lembaga pengarah baharu

lantikan lembaga pengarah baharu

KUALA LUMPUR 23 Julai - Bank Rakyat telah melantik dua ahli lembaga pengarah baharu iaitu Datin Norhamizah Mat Tahir dan Mohd. Jafri Kudus.

Kedua-dua pelantikan itu telah berkuatkuasa sejak 13 Julai lalu. 

Bank Rakyat dalam sebuah kenyataan memberitahu, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman serta kepimpinan mereka dalam bidang keusahawanan dan teknologi.

Jelas kenyataan itu, pengalaman yang dimiliki dijangka memberi nilai tambah bagi memacu bank itu mencapai hasrat yang diaspirasikan dalam pelan jangka panjang Bank Rakyat 2025.

"Bank Rakyat mengalu-alukan penyertaan dua ahli Lembaga Pengarah baharu ini untuk bersama-sama menerajui bank menerusi pengalaman yang dimiliki bagi meneruskan legasi kecemerlangannya sebagai bank koperasi Islam terbesar di Malaysia," kata kenyataan tersebut.

Norhamizah merupakan usahawan wanita yang telah berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak 16 tahun yang lalu.

Beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Norhamizah Tahir Associate Sdn. Bhd. dan juga telah menyandang jawatan sebagai Pengarah di DSDM Rezki Sdn. Bhd.

Sementara itu, Mohd Jafri berpengalaman luas lebih daripada 30 tahun dalam industri teknologi dan telekomunikasi.

Beliau merupakan Pengarah Eksekutif di Strovi Dox Sdn. Bhd. serta Perunding Pembangunan Perniagaan di Antah SNC Homeland Security Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Bank Rakyat merupakan sebuah institusi kewangan di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. - DagangNews.com