Bank Rakyat terbitkan Sukuk Wakalah menerusi SPV | DagangNews Skip to main content

Bank Rakyat terbitkan Sukuk Wakalah menerusi SPV

 

KUALA LUMPUR 15 April - Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat) menerbitkan Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM10 bilion menerusi syarikat entiti khusus (SPV), Imtiaz Sukuk II Berhad.

 

Ini melibatkan terbitan RM300 juta di bawah Sukuk Wakalah (Siri 3) dan RM700 juta Sukuk Wakalah (Siri 4) pada 19 April. 

 

Menurut bank itu, terbitan berkenaan juga dilaksanakan dalam beberapa tranche.

 

Ini menyaksikan nilai RM300 juta yang dikumpul menerusi terbitan sukuk lima tahun dengan pulangan tahunan sebanyak 3.54% dan RM700 juta dalam jangka masa tujuh tahun dengan pulangan 3.9%. 

 

“Hasil daripada Sukuk Wakalah akan digunakan bagi program pengembangan patuh syariah Bank Rakyat, perbankan umum, modal kerja dan tujuan umum korporat,” jelas bank itu dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Bagi Imtiaz Sukuk pula, hasil dari Sukuk Wakalah yang diterbitkan bakal digunakan untuk pelaburan dalam sebuah portfolio terdiri daripada Urus Niaga Komoditi Murabahah dan Perniagaan Patuh Syariah.

 

Dalam masa sama, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai pengurus utama bersama bagi program sukuk berkenaan. - DagangNews.com