Skip to main content

Bantuan Kerajaan demi kelestarian hidup rakyat

Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya - Gambar DagangNews.com
Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Sabariah Yusoff

KRISIS ekonomi global yang berlaku kesan dari pandemik COVID-19, telah merencatkan pertumbuhan ekonomi di seluruh pelosok dunia. Pendekatan bersifat countercyclical telah diambil oleh majoriti kerajaan untuk mengurangkan impak negatif krisis ini.

 

Malaysia juga tidak terkecuali. Landskap ekonomi pasca pandemik telah disusun semula demi kelestarian kehidupan rakyat dengan keutamaan perbelanjaan kerajaan yang difokuskan kepada memulihkan ekonomi.

 

Suntikan fiskal yang besar telah dibuat oleh kerajaan untuk merangsang semula ekonomi bagi meringankan tekanan hidup rakyat rentetan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula dari Mac 2020 sehingga sekitar November 2021.

 

Satu Kumpulan Wang COVID-191 dengan dana awal sebanyak RM45 bilion telah ditubuhkan pada September 2020 bagi membiayai pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi untuk menangani krisis ini.

 

Kemudiannya, menyusul pula Bajet 2022 yang dirangka berdasarkan tiga objektif utama iaitu melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian, membina semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan, di mana ianya telah dibentangkan pada 29 Oktober 2021.

 

Sekitar 70.3% dari bajet perbelanjaan diperuntukkan untuk perbelanjaan pengurusan sementara baki 22.7%pula untuk perbelanjaan pembangunan.

 

Berbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan samada dalam bentuk barangan dan tunai telah disenaraikan bertujuan membantu kesejahteraan dan aliran tunai rakyat yang memanfaatkan terutama golongan B40, M40, warga belia dan warga emas.

 

Terkini, bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam dan RM250 kepada Pesara Kerajaan telah diumumkan sebagai tambahan kepada senarai bantuan yang telah sedia ada. Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.

 

Jelas kerajaan prihatin dengan tekanan hidup pasca pandemik yang didepani oleh berbagai lapisan rakyat, khususnya golongan isi rumah. Bantuan yang disediakan oleh kerajaan ini sudah pasti sangat membantu dalam usaha memulihkan momentum dan meneruskan kelangsungan hidup.

 

parafrasa

 

Bagaimana kita mengklasifikasikan wang yang diterima oleh rakyat secara percuma ini? Dari perspektif ekonomi, wang ini dinamakan bayaran pindahan iaitu bayaran bukan atas sumbangan faktor pengeluaran produktif.

 

Tidak dapat dinafikan, bantuan kewangan secara langsung ini akan meningkatkan kuasa beli isi rumah dan seterusnya meningkatkan permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan secara agregat. 

 

Peningkatan permintaan agregat ini secara asasnya akan mendorong aktiviti pengeluaran untuk kembali berkembang setelah terpaksa ditangguhkan sepanjang tempoh PKP.

 

Situasi pasaran buruh juga akan kembali rancak apabila jumlah permintaan kepada guna tenga buruh kembali meningkat ekoran peningkatan aktiviti pengeluaran tersebut.

 

Pastinya, jika tiada sebarang gangguan kepada perjalanan sistem pasaran, kadar pengangguran akan menurun dan sekaligus kadar pendapatan isi rumah akan turut meningkat.

 

parafrasa

 

Ekonomi akan semakin beransur pulih andai kata pihak pengeluar tidak ada kekangan dari segi kapasiti pengeluaran untuk bergerak seiring dengan pertambahan dalam permintaan.

 

Namun, dalam pada itu, perlu berwaspada sekiranya bantuan kewangan itu turut digunakan untuk pembelian barangan import kerana impak ke atas aktiviti pengeluaran domestik akan berbeza  daripada yang dinyatakan.

 

Ini kerana wang yang dibelanjakan itu akan mengalir keluar dari negara. Kesan gandaan (multiplier effect) bantuan kewangan tersebut  makanya akan lebih rendah dari yang diunjurkan oleh pembentuk dasar.

 

Mungkin sekali imbas kegusaran ini semacam tidak berasas memandangkan jumlah bantuan kewangan yang disalurkan per individu atau secara mikronya adalah dalam jumlah yang rendah.

 

Jadi berkemungkinan ia dibelanjakan untuk memenuhi keperluan asas sahaja berbanding ke atas barangan import. Namun, dalam konteks makronya, tindakan ini boleh membawa kepada skala perubahan yang ketara sekiranya berlaku.
 

 

parafrasa

 

Dalam konteks pengeluaran atau penawaran pula, perlu juga diambil kira keupayaannya untuk bergerak selari dengan pertambahan perbelanjaan atau permintaan agregat.

 

Sekiranya usaha meninggikan aktiviti pengeluaran bermasalah atas pelbagai sebab seperti kenaikan dalam kos pengeluaran ekoran dari peningkatan harga input kesan dari krisis ekonomi global yang belum reda, maka peningkatan permintaan agregat sudah tentu tidak dapat dipenuhi.

 

Ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran barang ini akan memungkinkan kewujudan gandingan dua masalah ekonomi yang besar iaitu pengangguran dan inflasi.

 

Sungguh pun begitu, Ini berkemungkinan bersifat seketika sahaja sementara menanti tekanan kuasa pasaran untuk menstabilkan semula kedua dua sisi ini.

 

Persoalannya, apakah kos melepas kepada peruntukkan beratus juta ringgit yang dibelanjakan dalam melaksanakan bantuan kewangan ini?

 

Apakah pilihan lain, dari segi ekonomi khususnya, yang terpaksa dilepaskan pelaksanaannya ekoran dari saluran bantuan kewangan ini?

 

Golongan pembayar cukai terutamanya, yang sepatutnya mendapat faedah dari perbelanjaan kerajaan merupakan pihak yang terkesan secara langsung.

 

Pada pandangan rakyat umum, antara kesannya ialah apabila sana sini kelihatan berbagai projek mega pembangunan infrastruktur umpamanya pembinaan rangkaian lebuh raya yang terbengkalai atau terpaksa ditangguhkan kerana kekurangan aliran tunai.

 

 

parafrasa

 

 

Selain itu, isu keberhutangan negara juga perlu diberi perhatian. Ini kerana segala bantuan yang dihulurkan kerajaan ini memerlukan suntikan dana yang besar.  Krisis semasa mengakibatkan perbelanjaan kerajaan melebihi hasil pendapatan kerajaan.

 

Berkemungkinan besar, kerajaan terpaksa berhutang sama ada secara dalaman atau dari luar negara. Hal ini membimbangkan kerana jika hutang tidak diselenggara dengan baik, maka generasi akan datang akan terus dibebani dengan hutang awam yang berlarutan.

 

Akibatnya, berterusan jugalah cengkaman masalah ekonomi yang akan melumpuhkan kembali keadaan.  

 

Lantaran itu keprihatinan kerajaan demi kelestarian hidup rakyat ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

 

Para penerima bantuan kewangan kerajaan, khasnya, sewajarnyalah mengamalkan perbelanjaan berhemah iaitu berbelanja mengikut keutamaan keperluan, di samping mengutamakan produk keluaran tempatan, agar ekonomi negara kembali bertenaga dan produktif mengikuti sasaran yang diunjurkan. - DagangNews.com

 

  • Dr. Marziah Mokhtar adalah Koordinator MASMED Cawangan Selangor Kampus Dengkil
  • Sabariah Yusoff Pensyarah Kanan (Jabatan Ekonomi & Kewangan) Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM