Bantuan moratorium terus disediakan bank | DagangNews Skip to main content

Bantuan moratorium terus disediakan bank

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) kali ini. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, moratorium ini termasuk lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, seperti yang diumumkan sebelum ini. 

 

Katanya, bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman.

 

"Setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95% bagi peminjam individu dan 99% bagi peminjam PKS. 

 

"Ini membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika mereka memerlukan fleksibiliti pembayaran," katanya dalam perutusan khas petang ini. 

 

Bagi peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank, Bank Negara Malaysia (BNM) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia untuk membantu dan memberi khidmat nasihat kepada anda melalui telefon atau secara dalam talian. - DagangNews.com