Bantuan semasa Pelan Pemulihan Negara masih diperinci - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Bantuan semasa Pelan Pemulihan Negara masih diperinci - Tengku Zafrul

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Kementerian Kewangan menekankan bahawa bantuan semasa pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih dalam proses perincian, menurut Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. 

 

Ujar beliau, kajian lebih lanjut mengenai langkah-langkah seterusnya sedang dijalankan untuk membantu kelangsungan rakyat dan perniagaan dalam mendepani cabaran sepanjang bulan-bulan yang datang. 

 

“Walau bagaimanapun, bantuan-bantuan sedia ada akan disalurkan secara berterusan termasuklah pakej Pemerkasa Plus yang diperkenalkan bagi mengurangkan beban rakyat semasa Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) 3.0.

 

“Kita juga melindungi individu yang hilang pekerjaan daripada semua golongan dan juga mereka yang terjejas di dalam sektor-sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Fasa 1, 2 dan 3. 

 

Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz
Tengku Zafrul Aziz

 

“Sebagai satu bentuk perlindungan daripada masalah kewangan dan aliran tunai, mereka boleh mendapatkan moratorium pinjaman automatik selama tiga bulan atau pengurangan bayaran sebanyak 50% selama enam bulan,” jelas Tengku Zafrul dalam laporan Laksana Ke-58 yang dikeluarkan hari ini.

 

Katanya lagi, Kementerian Kewangan telah menekankan kepada sektor perbankan supaya mempermudahkan pelaksanaan bantuan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman kepada mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan. 

 

Pakej rangsangan ekonomi yang berbaki RM100 bilion serta RM200 bilion dari Belanjawan 2021 masih belum dibelanjakan, ujarnya lanjut. 

 

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan akan terus memantau dan memperincikan lain-lain bentuk bantuan yang akan disalurkan kelak sepanjang pelan pemulihan ini. 

 

“Walau bagaimanapun, pencapaian tahap pemvaksinan tetap menjadi kunci kepada exit strategy bagi PPN dalam membantu membuka sektor-sektor terjejas secara berperingkat sepanjang fasa-fasa yang akan datang,” ujarnya. 

 

PPN telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun 2021 yang dijalankan secara berfasa dengan nilai ambang atau indikator-indikator utama perlu dicapai sebelum beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya. 

 

Ini bermakna, sekiranya nilai ambang yang ditetapkan tidak dicapai, negara tidak akan bergerak ke fasa berikutnya di dalam PPN.

 

Indikator-indikator utama yang dipantau ialah bilangan kes jangkitan harian; keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad unit rawatan rapi (ICU); dan tahap populasi yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. - DagangNews.com