Banyak faktor pengaruhi pasaran tempatan | DagangNews Skip to main content

Banyak faktor pengaruhi pasaran tempatan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 15 Jan. -  Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pergerakan pasaran tempatan hari ini termasuk jangkaan pengurangan kadar dasar semalam (OPR) pada minggu hadapan. 

 

Ini menyaksikan pasaran tempatan hari ini bukan sahaja diniagakan mendatar tetapi hanya menyusut 0.53% untuk untuk ditutup kepada 1,627.01 mata. 

 

Indeks utama FBM KLCI bergerak dalam jajaran antara 1,626.25 hingga 1,637.88 mata dengan 5.85 bilion saham diniagakan bernilai RM4.07 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga hampir sama dengan 571 kaunter rugi berbanding 512 kaunter untung manakala 420 tidak berubah. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pasaran hari ini dengan hanya ditutup 8.7 mata lebih rendah.  

 

"Kebimbangan masih berlegar-legar mengenai cadangan pelaksanaan pakej rangsangan fiskal oleh Presiden AS, Joe Biden dan pada masa sama, tiada penurunan jangkitan COVID-19 di seluruh dunia. 

 

"Malah, bursa tempatan diheret turun oleh saham-saham berkaitan perbankan seperti Maybank, CIMB dan Public Bank di tengah-tengah akttiviti pengambilan untung," katanya kepada DagangNews.com petang ini. 

 

Menurutnya, kerugian yang dialami bursa tempatan juga seiring dengan pasaran serantau seperti Korea Selatan, Thailand, dan Jepun. 

 

Petang ini, saham Maybank susut 1.2% kepada RM8.25 manakala CIMB pula jatuh 0.97% kepada RM4.10 dan Public Bank susut 2.3% kepada RM21.2 sesaham.

 

Bagaimanapun, kaunter sarung tangan getah seperti Top Glove dan Supermax kembali meningkat sekurang-kurangnya 5%. 

 

Dari segi sektor, indeks tenaga merekodkan kerugian tertingi dengan penurunan 1.3% dipengaruhi kemerosotan harga minyak mentah Brent. 

 

Pada minggu hadapan, katanya, pelabur dijangka memberi fokus pada Rabu iaitu Mesyuarat Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

"Kemungkinan pengurangan OPR tidak dapat dielakkan dengan mengambil kira situasi pandemik ketika ini, jangkitan COVID-19 semakin meningkat dan pelaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya. 

 

Adam Mohamed berkata, sebarang pengurangan OPR ini pastinya akan memberi kesan kepada saham-saham perbankan dan mengheret turun indeks utama FBM KLCI. 

 

"Mengambil kira faktor ini, bursa dijangka diniagakan pada julat antara 1,620 dan 1,640 pada minggu hadapan," katanya. 

 

Sementara itu, ringgit petang ini ditutup kepada RM4.0345/0395 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.0370/0420. - DagangNews.com