BAT Malaysia anjur 'Cheer-Ria Raya' raikan kakitangan dan golongan kurang kemampuan | DagangNews Skip to main content

BAT Malaysia anjur 'Cheer-Ria Raya' raikan kakitangan dan golongan kurang kemampuan


KUALA LUMPUR 2 Julai – Dalam suasana perintah kawalan pergerakan yang diperketat, British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) telah mengadakan sambutan Hari Raya yang ringkas tetapi bermakna untuk kakitangannya dan juga golongan kurang berkemampuan.

 

Dengan tema ‘Cheer-Ria Raya’, BAT Malaysia bekerjasama dengan tiga badan amal dari Lembah Klang, iaitu Dapur Rakyat, Ibupreneur dan Komuniti Tukang Jahit dalam usaha menyokong tujuan murni masing-masing.

 

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jonathan Reed berkata, memberi keutamaan kepada kelestarian adalah sebahagian penting daripada matlamat korporat BAT Malaysia untuk membina Masa Depan Lebih Baik (A Better TomorrowTM).

 

“Selain daripada berusaha untuk mengurangkan impak kesihatan perniagaan kami, BATM juga ingin merangsang impak sosial yang positif pada kakitangan dan juga masyarakat. Dengan itu kempen Cheer-Ria dianjurkan untuk membuka peluang kepada golongan kurang bernasib baik untuk menjana pendapatan agar mereka dapat menyambut Hari Raya dengan gembira.”

 

Melalui kolaborasi dengan tiga-tiga badan amal ini BAT Malaysia telah menjayakan beberapa aktiviti menarik bagi membawa suasana ceria Raya dalam kalangan kakitangan.

 

Sepanjang Ramadan lalu, kakitangan di ibu pejabat BAT Malaysia telah dihidangkan dengan 700 sajian daripada yang dimasak sendiri oleh ibu-ibu tunggal, keluarga B40 dan golongan kurang upaya di bawah naungan Yayasan Wanita Malaysia dan Hope Kitchen Malaysia menerusi usahasama Dapur Rakyat.

 

Inisiatif ini memberi peluang kepada golongan ini meraih pendapatan melalui makanan yang mereka masak di rumah.

 

“Kami juga berganding bahu dengan Ibupreneur dan Komuniti Tukang Jahit melalui 500 Cheer-Ria Raya Gift Box yang diagihkan kepada untuk semua kakitangan kami. Gift Box ini telah diisi dengan lebih daripada 10,000 kuih raya tradisional, 1,000 keping Dompet Raya dan pemegang kad nama yang direka khas menggunakan batik yang dibeli daripada usahawan tempatan. 

 

Ibupreneur ialah sebuah perusahaan sosial yang mengajar ibu-ibu cara untuk menguruskan perniagaan pembuatan kuih di rumah, manakala Komuniti Tukang Jahit ialah sebuah platform yang menyediakan latihan bertauliah dalam bidang kemahiran menjahit kepada Wanita B40,” ujarnya.

 

Cheer-Ria Raya adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif BAT Malaysia untuk menerapkan impak sosial yang positif bukan sahaja kepada kakitangan tetapi juga kepada komuniti di dalam lanskap operasi kami. DagangNews.com