BAT Malaysia diiktiraf sebagai Majikan Terbaik buat tahun kelima berturut-turut | DagangNews Skip to main content

BAT Malaysia diiktiraf sebagai Majikan Terbaik buat tahun kelima berturut-turut

KUALA LUMPUR 21 Jan - British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) telah diiktiraf sebagai Majikan Terbaik untuk tahun kelima berturut-turut daripada Top Employers Institute selain menerima Anugerah Majikan Terbaik bagi kategori Asia Pasifik dan Global.

 

Program Anugerah Majikan Terbaik mengiktiraf sesebuah organisasi berdasarkan penyertaan serta Tinjauan Amalan Sumber Manusia Terbaik yang merangkumi enam perkara utama seperti Strategi Pekerja, Suasana Bekerja, Pencarian Bakat, Pembelajaran, Kesejahteraan dan Kepelbagaian.

 

Tahun ini, BAT Malaysia menjadi satu daripada 11 Majikan Terbaik yang diiktiraf Top Employers Institute.

 

Anugerah itu memperkasakan komitmen BAT Malaysia dalam memajukan tenaga kerja pada masa hadapan selaras dengan matlamat mereka mencipta masa depan yang lebih baik.

 

Pengarah Sumber Manusia dan Kemasukan BAT Malaysia, Felicia Teh berkata, anugerah berkenaan membuktikan keberkesanan cara kerja mereka yang mementingkan keberanian, ketangkasan, tanggungjawab dan kepelbagaian sebagai panduan dalam memberikan ispirasi kepada barisan tenaga kerja.

 

"Dalam usaha kami membentuk sebuah organisasi efisyen bertaraf dunia, kami akan terus mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang ramai dan memacu keupayaan baharu dalam mencipta masa depan yang lebih baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Top Employers Institute, David Plink berkata, majikan terbaik akan terus memberikan keutamaan dalam mengekalkan budaya kerja terbaik di tempat kerja.

 

"BAT Malaysia telah membuktikan komitmen terbaik kepada kakitangan mereka. Menerusi anugerah itu, mereka menjadi sebahagian kecil syarikat yang berjaya mendapatkan pengiktirafan global menerusi Program Majikan Terbaik. Kami berbangga dengan pencapaian mereka pada tahun 2022," katanya. - DagangNews.com