BAT Malaysia lancarkan bas berslogan HENTIKAN PASARAN GELAP | DagangNews Skip to main content

BAT Malaysia lancarkan bas berslogan HENTIKAN PASARAN GELAP

KUALA LUMPUR 1 Okt. – British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) hari ini melancarkan bas berslogan HENTIKAN PASARAN GELAP. Ia merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk berkongsi maklumat dengan rakyat Malaysia dan menarik perhatian mengenai betapa seriusnya isu pasaran gelap di negara ini.

Bas tersebut yang mempamerkan mesej khidmat awam HENTIKAN PASARAN GELAP, akan bergerak ke pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang dari sekarang sehingga Disember 2020.

Pengarah Urusan BAT Malaysia Jonathan Reed berkata, bas berslogan ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa isu rokok seludup tidak lagi boleh diketepikan atau dielak.


“Isu pasaran rokok seludup ini telah terpinggir sekian lama dan telah mengakibatkan kerugian besar kepada negara itu sebanyak RM5.3 bilion setahun daripada segi kutipan hasil cukai. 

“Pasaran gelap ini bukan sekadar isu industri. Ia menjejaskan semua lapisan rakyat Malaysia secara langsung dan tidak langsung. Saiz pasaran gelap di negara dianggarkan sebesar RM300 bilion dan hasil-hasilnya pula digunakan bagi membiayai jenayah, menjana rasuah dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, sedangkan dana ini amat diperlukan rakyat sekarang ini untuk keluar daripada pandemik COVID-19,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 

reed
Jonathan Reed di hadapan bas berslogan HENTIKAN PASARAN GELAP di ibu negara hari ini.


“Lebih membimbangkan apabila masalah ini semakin berleluasa walaupun usaha penguatkuasaan telah dilipat-gandakan tahun ini. Kaji Selidik Rokok Seludup oleh Nielsen baru-baru ini mendedahkan bahawa rokok seludup di Malaysia sebenarnya telah bertambah sejak beberapa bulan ini dan ia berada pada tahap 62%daripada jumlah keseluruhan pasaran dalam Julai 2020," ujarnya.

Reed berkata, d
alam keadaan ekonomi yang malap pada masa sekarang, ia dikhuatiri akan mendorong peningkatan kepada pasaran rokok seludup.  

"Langkah berteraskan dasar negara perlu dilaksanakan dengan segera bagi membanteras pasaran rokok seludup. Kerajaan perlu juga mempertimbangkan langkah-langkah selain daripada tindakan penguatkuasaan untuk benar-benar menangani isu ini dengan berkesan,” katanya.


“Kami berharap rakyat Malaysia yang melihat bas HENTIKAN PASARAN GELAP di atas jalan raya akan menyokong kempen kami dan menyertai perbincangan dengan melawat https://www.facebook.com/stoptheblackmarket,” kata Reed. - DagangNews.com