Skip to main content

BAT Malaysia lantik Nedal Salem sebagai Pengarah Urusan berkuat kuasa 1 Sept

Nedal Salem

 

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - British American Tobacco (Malaysia) Bhd. (BAT Malaysia) hari ini mengumumkan  pelantikan Nedal Salem sebagai pengarah urusan syarikat berkuat kuasa 1 September 2021. 

 

Beliau akan menggantikan Jonathan Reed yang melepaskan jawatan tersebut untuk mengambil alih peranan sebagai Ketua Kumpulan Combustibles di British American Tobacco PLC.

 

Jonathan sebelum itu dilantik sebagai Pengarah Urusan BAT Malaysia pada Februari 2020.

 

Menurut BAT Malaysia, Nedal akan dilantik sebagai pengarah eksekutif bukan bebas dan pengarah urusan berkuat kuasa 1 September 2021, tertakluk kepada permit kerja yang diluluskan Jabatan Imigresen Malaysia. 

 

"Buat masa ini, beliau merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ceylon Tobacco Company PLC (CTC) yang berpangkalan di Sri Lanka, yang juga ahli BAT plc Group.

 

"Beliau dilantik ke jawatan tersebut sejak mei 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Nedal menyertai BAT pada 1998 sebagai pengurus negara di Jordan dan pengurus janama kumpulan di Asia Barat. 

 

Kemudiannya beliau memegang jawatan sebagai ketua strategi BAT Asia Barat mulai 2006 hingga 2008, pengurus kanan jenama global di BAT UK mulai 2008 hingga 2011, pengarah pemasaran jenama di BAT Korea Selatan mulai 2011 hingga 2015 dan ketua pemasaran jenama di BAT Indonesia. 

 

Sementara itu, Pengerusi BAT Malaysia, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat merakamkan penghargaan kepada Jonathan sepanjang memimpin syarikat dan menjalankan tugasnya sebagai pengarah urusan.

 

"Kami telah melihat perubahan perniagaan yang luar biasa di bawah kepemimpinannya dan berharap beliau mendapat yang terbaik dalam pelantikannya seterusnya.

 

"Pada masa sama, kami turut mengalu-alukan kedatangan Nedal menyertai BAT Malaysia dan yakin dengan pengalaman luasnya dapat mengukuhkan lagi kedudukan kami," katanya. - DagangNews.com