BAT Malaysia raih Anugerah Tadbir Urus Syarikat Terbaik MSWG | DagangNews Skip to main content

BAT Malaysia raih Anugerah Tadbir Urus Syarikat Terbaik MSWG

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem

 


KUALA LUMPUR 15 Okt – British American Tobacco (Malaysia) Berhad  telah diiktiraf oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) di atas kecemerlangannya di dalam aspek tadbir urus syarikat.

 

BAT Malaysia menerima Anugerah Kecemerlangan Pendedahan Tadbir Urus Korporat dan Anugerah Kecemerlangan Industri bagi kategori Perkhidmatan dan Produk Pengguna.

 

Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN telah digunakan untuk menilai amalan terbaik tadbir urus dalam kalangan 851 syarikat yang bertanding, BAT Malaysia telah dipilih sebagai pemenang bagi dua kategori anugerah tersebut oleh wakil dari badan profesional, pakar tadbir urus korporat, ahli akademik, profesional pelaburan dan pakar pasaran ekuiti Malaysia.

 

Penilaian tersebut adalah berdasarkan berdasarkan maklumat yang laporan tahunan yang diterbitkan, laporan tadbir urus korporat dan kelestarian yang dikeluarkan untuk tahun kewangan yang berakhir antara 30 April 2019 dan 31 Mac 2020.

 

Kedua-dua anugerah ini menggambarkan penerapan inisiatif pematuhan, ketelusan dan kepatuhan kepada Piawaian Tingkah Laku Perniagaan BAT Malaysia yang konsisten.

 

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, beliau sangat berbangga apabila BAT Malaysia telah diiktiraf oleh MSWG dengan anugerah ini.

 

‘’Sebagai sebahagian daripada tujuan membina A Better Tomorrow™, kami berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam tadbir urus korporat.

 

‘’Menjalankan perniagaan kami dengan kejujuran, integriti dan ketelusan bukan hanya merupakan perkara yang tepat, tetapi juga penting untuk terus mengembangkan perniagaan yang bertanggungjawab, berjaya dan mampan dalam jangka panjang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MSWG, Devanesan Evanson berkata, tahun 2020 menandakan tahun kesembilan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti menjalankan projek penilaian tadbir urus korporat.

 

Menurutnya, BAT Malaysia bukan sahaja dikenali dengan konsep tadbir urus korporatnya yang tinggi, BAT Malaysia juga telah membina kepercayaan kepada pelabur dan masyarakat.

 

‘’Bukan sahaja itu, pekerja BAT Malaysia juga mendapat manfaat daripada khidmat mereka dengan sebuah syarikat yang mempunyai reputasi korporat yang baik serta memupuk budaya integriti yang membawa kepada prestasi positif dan perniagaan yang mampan,” katanya. – DagangNews.com