Skip to main content

BAT sahkan rancangan penjualan vape di Malaysia

Vuse vape

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - British American Tobacco (BAT) membuat pengesahan berkaitan perancangan pihaknya untuk membawa masuk produk vape ke pasaran Malaysia.

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh BAT melalui taklimat yang dianjurkan bersama pihak CGS-CIMB semalam.

 

"Rancangan itu diputuskan setelah kerangka garis panduan dan peraturan bagi produk vape telah dimuktamadkan di negara ini.

 

"Kumpulan itu mengumumkan perancangan untuk mula menjual produk vape di bawah jenama Vuse di pasaran Malaysia," jelas CGS-CIMB Research.

 

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November baru-baru ini, Menteri Kewangan mengumumkan dua langkah yang berkaitan dengan pasaran vape atau peranti rokok elektronik.

 

Pertama, kerajaan akan mengenakan duit eksais pada kadar ad valorem 10% ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape. 

 

Kedua, bagi cecair rokok elektronik pula akan dikenakan cukai eksais pada kadar 40 sen per mililiter (ml).

 

Kedua-dua perkara tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu, BAT bagaimanapun belum memaklumkan tempoh yang tepat untuk melancarkan produk berkenaan di negara ini.

 

BAT menganggarkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 1 juta rakyat Malaysia yang kerap menggunakan vape yang melibatkan 20% daripada jumlah perokok di negara ini.

 

"Bagi kami mereka adalah bekas perokok yang telah berhenti disebabkan oleh harga yang tinggi atau bimbang terhadap aspek kesihatan.

 

"Kami yakin BAT memiliki peluang yang lebih baik untuk menarik pelanggan lama dan baharu melalui pasaran vape yang sedang berkembang," ujar CGS-CIMB Research.

 

CGS-CIMB Research memutuskan untuk mengekalkan saranan 'tambah' saham BAT dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM12.65. - DagangNews.com