Batal perjanjian dengan TSH kurangkan ‘beban’ KLK, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Batal perjanjian dengan TSH kurangkan ‘beban’ KLK, kata CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Langkah Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) untuk membatalkan dua perjanjian jual dan beli bersyarat dengan TSH Resources (TSH) akan mengurangkan ‘beban’ kewangan kumpulan. 

 

Sementalahan KLK baru-baru ini mengumumkan pengambilalihan ke atas 56.2% kepentingan IJM Plantations Berhad (IJMP) daripada IJM Corporation Berhad (IJM) bernilai RM1.53 bilion, menurut di CGS-CIMB Research.

 

“Kami neutral terhadap perkembangan ini memandangkan kami sebelum ini tidak melihat pengambilalihan itu akan mendatangkan impak material ke atas perolehan KLK dalam masa terdekat.

 

“Ini kerana kedua-dua estet tersebut masih lagi muda dan estet PT Teguh Swakarsa Sejahtera (TSS) mencatatkan kerugian sebelum cukai berjumlah RM2.6 juta pada tahun kewangan 2019 (FY19),” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

KLK menerusi maklumannya di Bursa Malaysia semalam memberitahu bahawa kumpulan membatalkan dua perjanjian berkenaan dengan TSH berhubung pengambilalihan 90% kepentingan syarikat itu di dalam dua estetnya di Indonesia, PT Farinda Bersaudara (FB) dan TSS. 

 

Ini berikutan terdapat beberapa syarat di bawah perjanjian itu tidak dipenuhi atau diabaikan sebelum tamatnya syarat-syarat sebelum tempoh pemenuhan.

 

KLK bagaimanapun tidak menyatakan syarat mana yang tidak dipenuhi dan menyebabkan pembatalan perjanjian tersebut.

 

Cadangan pengambilalihan itu bakal menelan belanja AS$110 juta atau kira-kira RM448 juta ke atas KLK sekiranya diteruskan, dan dijadualkan untuk selesai dalam tempoh empat bulan dari tarikh perjanjian yang ditandatangani pada 26 Ogos 2020.

 

“Kami tidak melihat pembatalan itu akan memberi kesan material ke atas pendapatan KLK pada FY21,” tambah CGS-CIMB lagi.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham KLK dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM25.25 sesaham. 

 

Baca : Tawaran KLK munasabah, IJM setuju jual 56.2% kepentingan

 

Perolehan yang lebih baik daripada jangkaan, dipacu oleh langkah penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bertindak sebagai pembangkin penarafan semula saham kumpulan.

 

Risiko utama buat saham KLK adalah ketidakupayaan kumpulan untuk memperoleh sinergi daripada langkah pengambilalihan untuk mewujudkan nilai pemegang saham. - DagangNews.com