Skip to main content

Batal sebab COVID-19, kos tiket perlu dibayar semula - Mavcom

 

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Syarikat penerbangan perlu membayar balik kos tiket kepada para pelanggan mereka sekiranya penerbangan dibatalkan akibat sekatan bagi membendung penularan wabak COVID-19. 

 

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menegaskan, bayaran balik itu bagi kos tiket pada masa pembelian itu termasuklah cukai, fi dan caj yang telah diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang tertulis. 

 

Ini juga termasuklah caj perkhidmatan pilihan yang telah dibeli oleh pengguna yang terjejas.

 

"Bagaimanapun, Mavcom mengambil maklum bahawa kebanyakan syarikat penerbangan telah memenuhi permintaan bayaran balik kepada pengguna yang terjejas.

 

"Oleh itu, Mavcom menggalakkan semua syarikat penerbangan untuk terus berusaha bagi memenuhi keperluan bayaran balik ini," katanya dalam kenyataan hari ini.   

 

Jelas Mavcom, syarikat penerbangan mestilah melaksanakan prinsip wajar dan adil dalam penentuan kaedah pembayaran balik kepada pengguna yang terjejas. 

 

"Kaedah pembayaran balik mesti meletakkan pengguna terjejas di kedudukan serta keadaan yang sama pada waktu pembelian tiket untuk kepentingan terbaik syarikat penerbangan dan juga pengguna," jelasnya lagi.

 

Sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik yang dikenakan akibat penularan pandemik COVID-19 telah mengakibatkan banyak pembatalan penerbangan. 

 

Mavcom menyedari perkara yang dihadapi pengguna yang terjejas akibat pandemik tersebut ekoran hal tersebut adalah di luar dari kebiasaan. 

 

Dalam mengimbangkan hak pengguna yang terjejas dan kelestarian industri penerbangan, Mavcom akan terus melaksanakan tugas di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] dan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016. - DagangNews.com