Bayaran tambahan BKM bantu rakyat bersedia menghadapi kenaikan harga barangan – Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Bayaran tambahan BKM bantu rakyat bersedia menghadapi kenaikan harga barangan – Pakar Ekonomi

Bantuan tambahan ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 8.6 juta penerima.
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 23 Jun – Bayaran tambahan sebanyak RM50 dan RM100 kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersesuaian dengan situasi semasa ketika rakyat bakal terkesan dengan kenaikan harga serta-merta bermula 1 Julai.

 

Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan bahawa langkah yang diambil itu merupakan mekanisme yang paling mudah dan pantas sebagai respons kepada isu peningkatan harga barang yang dihadapi rakyat.

 

"Walau bagaimanapun, mekanisme ini dilihat sebagai langkah jangka pendek. Oleh itu, kerajaan wajar mempertimbangkan dengan serius pemberian baucar untuk pusingan bantuan berikutnya untuk memastikan mereka akan membelanjakannya untuk barangan yang betul," beliau memberitahu DagangNews hari ini.

 

Beliau turut menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme pemberian baucar seperti baucar buku bernilai RM250 yang diberikan dahulu.

 

"Saya berharap pemberian baucar kali ini dapat dimodenkan dan mengguna pakai teknologi seperti aplikasi seumpama MySejahtera bagi memastikan ia lebih cepat, selamat dan efisien," ujar beliau.

 

Semalam Ismail Sabri mengumumkan pemberian bantuan kewangan  kepada golongan B40, masing-masing RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang dan setiap penerima bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM630 juta.


 

prof madya dr ahmed rasman
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

 

 

Bantuan tambahan ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 8.6 juta penerima, merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang dan setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun ini, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

 

Sementara itu, Pakar ekonomi Dr Nungsari Radhi berkata pemberian bantuan kewangan secara langsung dan kupon merupakan alternatif yang baik dan lebih efisien bagi pengguna mahupun perniagaan.

 

"Langkah ini lebih baik dari kawalan harga barangan dan subsidi, di mana pemberian subsidi yang hanya bertujuan untuk merendahkan harga barangan dan kemudiannya mengatakan harga barangan tidak naik, ini adalah tidak betul," beliau berkata, dan menjelaskan lagi subsidi harga yang sesuai untuk servis seperti pengangkutan awam tetapi bukan untuk barangan penggunaan.

 

 

Dr Nungsari Radhi
               Dr Nungsari Radhi

 

 

Mengulas mengenai penyalahgunaan bantuan kewangan dan baucar, Nungsari menjelaskan bahawa situasi seperti itu tidak dapat dielakkan dalam mana-mana usaha memperkenalkan mekanisme baharu namun ia tidak seharusnya menjadi penghalang dalam usaha kerajaan menyalurkan bantuan.

 

"Ia akan sentiasa ada tetapi itu tidak dapat dielakkan dan kita tidak boleh memilih untuk tidak boleh buat kerana itu (penyalahgunaan baucar dan bantuan).

 

“Ia merupakan langkah yang lebih baik daripada mengawal harga barangan yang begitu banyak, bagi kupon makanan kepada orang yang layak untuk membeli barangan keperluan tersebut," jelas beliau. – DagangNews.com