BCB kembali untung pada Q4 daripada kerugian RM8.35 juta setahun lalu | DagangNews Skip to main content

BCB kembali untung pada Q4 daripada kerugian RM8.35 juta setahun lalu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Syarikat pemaju hartanah, BCB Berhad kembali mencatatkan keuntungan bersih pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21) yang berakhir 30 Jun lalu, kepada RM5.52 juta. 

 

Angka itu meningkat daripada kerugian RM8.35 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun lalu, menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia. 

 

Dari segi perbandingan suku tahun pula, keuntungan bersih BCB berkembang daripada RM0.58 juta.

 

“Kumpulan mencatatkan peningkatan RM8.16 juta keuntungan sebelum cukai, daripada RM0.9 juta yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya kepada RM8.25 juta.

 

“Peningkatan ini terutamanya dipacu oleh penyesuaian pembalikan untuk kos penjualan BCB Development berjumlah RM5 juta dan keuntungan daripada penilaian semula hartanah pelaburan untuk Johbase City Square dan U-Mall berjumlah RM4 juta,” jelas BCB.

 

Bagi prestasi sepanjang tahun, kumpulan menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM15.65 juta daripada RM11.56 juta yang dicatatkan pada setahun lalu.

 

BCB tidak megisytiharkan sebarang dividen interim bagi suku tahun semasa, mahupun tempoh kewangan setakat ini. 

 

“Memandangkan kadar vaksinasi di dalam negara dipergiatkan dengan ketara, kerajaan secara perlahan-lahan membuka semula lebih banyak sektor kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap sebagai usaha membina semula ekonomi yang ditutup akibat penularan COVID-19. 

 

“Walaupun prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial masih dikuatkuasakan, kami melihat aktiviti ekonomi berjalan semula. 

 

“Kumpulan akan terus memanfaatkan permintaan domestik untuk memacu pendapatan, di samping menguruskan asas kos kami agar sejajar dengan persekitaran operasi baharu,” tambah BCB. - DagangNews.com