Bekalan ayam cukup sampai lepas Aidilfitri - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Bekalan ayam cukup sampai lepas Aidilfitri - KPDNHEP

 

KUALA LUMPUR 22 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa bekalan ayam bersih mencukupi sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.

 

Menurut Menterinya, Alexander Nanta Linggi, ini selepas KPDNHEP telah berbincang dengan beberapa pengeluar ayam terbesar dan mereka memberi jaminan bahawa bekalan mencukupi.  

 

"Selepas mengadakan konsultasi dengan beberapa pengeluar ayam yang menternak dalam skala besar, mereka memberi jaminan bekalan ayam mencukupi sehingga selepas Hari Raya Aidiltri. 

 

"Semalam saya juga ada berhubung dengan pengusaha peladang, beliau juga memberi jaminan kepada saya bahawa bekalan memang ada dan mencukupi. Jadi jangan risau kepada semua," katanya menurut laporan Bernama. 

 

Alexander Nanta Linggi
ALEXANDER NANTA LINGGI ketika melawat MyFarm Outlet Putrajaya bagi meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 yang bermula semalam. - Gambar Facebook Alexander Nanta Linggi

 

Dalam masa sama, KPDNHEP juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berhubung harga ayam standard, RM7.90 sekilogram.

 

Katanya, di seluruh negara, terdapat 12 item di dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, di mana bermula pada peringkat runcit hingga borong perlu mengikuti harga yang ditetapkan.

 

SHMMP Hari Raya Puasa 2021 dilaksanakan selama 30 hari bermula 21 April hingga 20 Mei, melibatkan 12 jenis barangan dalam empat kategori ayam, telur ayam, daging dan hasil laut. 

 

Nanta berkata, harga ayam dan telur telah ditetapkan dari peringkat ladang dan tidak sepatutnya peniaga atau peruncit berdepan dengan masalah harga tinggi apabila membeli dari pemborong. - DagangNews.com