Bekalan elektrik ke Pusat Simpanan & Pemberian Vaksin stabil | DagangNews Skip to main content

Bekalan elektrik ke Pusat Simpanan & Pemberian Vaksin stabil

 Bekalan elektrik ke Pusat Simpanan & Pemberian Vaksin stabil

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac. - Bekalan elektrik di kesemua 40 Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan lebih 400 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang beroperasi di seluruh Semenanjung berada dalam keadaan baik sejak pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Februari baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, ia berikutan usaha-usaha penyelenggaraan awal oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di PSV dan PPV dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak hospital dan klinik kesihatan.

 

"Kami mendapat kerjasama dan sokongan yang begitu baik daripada KKM, hospital dan klinik kerajaan yang berkaitan. 

 

"Di setiap pusat, kami menempatkan pasukan teknikal bagi membuat kerja senggaran awal untuk memastikan bekalan adalah stabil dan jika berlaku gangguan, ia dapat dipulihkan dalam tempoh minimum.

 

 

"Kerja-kerja senggaraan melibatkan pencawang dan pembekalan elektrik ke pusat penyimpanan vaksin itu yang dilakukan sejak awal Februari adalah antara aspek kritikal bagi menjayakan program imunisasi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Wan Nazmy Wan Mahmood
Wan Nazmy Wan Mahmood

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, TNB bersama pihak hospital dan klinik kesihatan turut memastikan set janakuasa di pusat-pusat perubatan terlibat dapat berfungsi dan bersedia untuk digunakan sekiranya perlu.

 

Dalam pada itu, pasukan TNB sentiasa membuat rondaan di semua PSV dan PPV di Semenanjung dan segera memulihkan bekalan elektrik dengan pantas di pusat yang berlaku gangguan bekalan.

 

"Set-set janakuasa bergerak TNB juga bersedia untuk digerakkan serta-merta ke lokasi PSV dan PPV bagi memastikan tindakan pantas boleh diambil.

 

"Selain penyelenggaraan aset dan ketersediaan pasukan teknikal, TNB turut menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas) kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.

 

"Sekiranya orang ramai menyedari sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB atau ingin melaporkan gangguan bekalan, sila hubungi talian TNB CareLine 15454," tambah beliau lagi. - DagangNews.com