Bekalan vaksin COVID-19 Malaysia lebih stabil menjelang Jun nanti | DagangNews Skip to main content

Bekalan vaksin COVID-19 Malaysia lebih stabil menjelang Jun nanti

 Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 April - Malaysia bakal menerima bekalan vaksin yang lebih stabil dan mencukupi bermula Jun nanti.

 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, susulan itu program vaksinasi secara besar-besaran akan dapat berjalan dengan lancar.

 

"Berdasarkan jadual penghantaran yang kita terima daripada pembekal, kita (Malaysia) akan mula mendapat bekalan vaksin yang lebih stabil dan mencukupi mulai Jun dan seterusnya.

 

"Buat masa ini, permintaan mengatasi penawaran. Yang paling penting, data menunjukkan bahawa kita akan mempunyai bekalan yang cukup untuk memastikan kita mencapai sasaran 80% penduduk divaksin sebelum penghujung tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

.

 

Program vaksinasi akan terus berjalan hingga akhir tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

 

Beliau memberitahu, Malaysia telah melepasi vaksinasi fasa satu yang melibatkan petugas barisan hadapan dalam sektor perubatan dan bukan perubatan.

 

Katanya, Malaysia akan memulakan proses vaksinasi fasa dua minggu hadapan yang melibatkan golongan berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

 

Mengulas berkaitan bekalan vaksin yang rendah, beliau memberitahu, Malaysia dan negera berpendapatan sederhana lain berdepan dengan isu berkenaan kerana negara-negara kaya telah memenuhi pasaran vaksin COVID-19.

 

Jelasnya, beberapa negara kaya telah membeli vaksin yang mencukupi untuk rakyatnya sebanyak tiga hingga lima kali ganda.

 

"Banyak syarikat farmaseutikal lebih memilih negara kaya dengan alasan yang jelas itu.

 

"Itulah sebabnya Malaysia terpaksa menyeimbangkan portfolio vaksin COVID-19 seperti Pfrizer dan AstraZeneca di samping vaksin dari negara-negara bukan Barat seperti Sinovac (China)," ujar beliau.

 

Dalam kenyataan yang sama, beliau menyatakan komitmennya untuk terus berusaha mendapatkan bekalan vaksin dengan lebih pantas.

 

"Sementara itu, sila jaga prosedur operasi standard (SOP) dan dalam tempoh beberapa bulan akan datang anda akan menerima notifikasi dalam aplikasi MySejahtera atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berkaitan janji temu vaksinasi anda," tambah beliau. - DagangNews.com