Belanjawan 2022 mesti gariskan langkah-langkah banteras rasuah, ketirisan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2022 mesti gariskan langkah-langkah banteras rasuah, ketirisan

BELANJAWAN 2022 akan dibentangkan di Dewan Rakyat Parlimen pada bulan depan.
 

 

KUALA LUMPUR 23 Sept – Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), bermula dengan Belanjawan 2022, haruslah menggariskan langkah-langkah inovatif dan menyeluruh bagi membanteras rasuah, pendorong utama perdagangan haram dan ketirisan lain di dalam ekonomi Malaysia.

 

Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, ketirisan daripada ekonomi gelap, terutama perdagangan rokok seludup mengakibatkan Kerajaan kehilangan lebih daripada RM5 bilion dari segi hasil cukai tidak dikutip setiap tahun, berterusan merosakkan ekonomi negara dan memberi impak negatif kepada rakyat.

 

"Malah, ketua-ketua penyeludup rokok dan kartel-kartel yang didakwa dikenali oleh agensi penguatkuasaan masih tidak ditangkap dan didakwa. Sebaliknya, mereka semakin berani dan licik mengabui mata pihak berkuasa.’’

 

"Keadaan ini disemarakkan oleh rasuah dan jika tidak dibuat apa-apa, aspirasi dan matlamat yang ditetapkan di dalam RMK12 tidak akan tercapai,’’ kata beliau yang merupakan pemegang kerusi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi, Universiti HELP dan merupakan mantan Presiden Transparency International Malaysia.

 

"Rasuah merosakkan pembangunan sosial, kestabilan politik dan kemampanan ekonomi. Ia menakutkan pelabur berkualiti untuk melabur di Malaysia dan mengurangkan produktiviti yang membawa kepada penurunan pertumbuhan ekonomi,’’ jelas Akhbar dalam kenyataan hari ini.

 

Satu kes nyata ialah bagaimana Malaysia menyusut kedudukannya dan mata di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2020, hanya meraih 51 mata daripada 100 mata, meletakkan Malaysia di tangga ke-57 daripada 180 negara.

 

 

Datuk Seri Akhbar Satar
Datuk Seri Akhbar Satar

 

 

Dengan Belanjawan 2022 tertumpu kepada penambahbaikan kerangka kerja tadbir urus dan mengukuhkan tindakan-tindakan bagi melindungi dan memacu pemulihan kehidupan dan kesejahteraan rakyat, membina ketahanan ekonomi selain menganjak pembaharuan sosio-ekonomi, Akhbar mencadangkan :

 

  1. Kerangka kerja menyeluruh bagi membanteras rasuah di dalam RMK12, bermula dengan Belanjawan 2022;
     
  2. Mengguna pakai dasar-dasar yang terbukti berjaya dari Belanjawan 2021 bagi mengekang semua perdagangan haram, termasuk menangkap ketua-ketua penyeludup rokok dan kartel menerusi penggunaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001;
     
  3. Memperkasa pasukan petugas pelbagai agensi dengan pegawai berkualiti tinggi bagi memerangi perdagangan haram. Sehingga kini, pasukan petugas tersebut telah melakukan tugas yang bagus tetapi lebih banyak kerjasama diperlukan antara agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan bagi mencapai hasil yang lebih baik. Selain itu, operasi dan perisikan bersama perlu ditambah baik dan dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur.
     
  4. Meningkatkan program kesedaran dan pendidikan kepada semua peringkat orang awam dan sektor awam mengenai bahaya rasuah demi masa depan lebih baik Malaysia dan rakyat serta menanam di jiwa bahawa menjadi tanggungjawab semua untuk memerangi rasuah;
     
  5. Menyediakan persekitaran kondusif yang menggalakkan orang awam melapor sebarang salah laku seperti penyaluran maklumat mengenai aktiviti penyeludupan.

 

Akhbar menjangkakan perdagangan haram akan terus berkembang besar di dalam masa terdekat ini.

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri Dato' Sri Ismail Sabri mendedahkan bahawa sejumlah 580,000 isi rumah dari kumpulan berpendapatan pertengahan telah menjunam ke kategori bawah 40 (B40) disebabkan kejatuhan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

 

"Keadaan ini akan merancakkan lagi amalan rasuah oleh elemen-elemen penjanayah yang akan mengambil kesempatan daripada permintaan untuk produk-produk lebih murah.

 

''Oleh itu, perancangan jangka panjang dan pelaksanaan menyeluruh untuk membanteras rasuah harus bermula dari sekarang,’’ kata Akhbar. – DagangNews.com