Skip to main content
Kolum Volatiliti - 20 October 2021

Belanjawan 2022: Selamatkan Sektor Pelancongan

 

 

BELANJAWAN 2022 dijangka memberi tumpuan kepada pemulihan sektor pelancongan negara. Sektor pelancongan sehingga kini dianggarkan mengalami kerugian melebihi RM100 bilion.

 

  • RM100 bilion ini satu jumlah yang sangat besar!
  • Pada tahun 2020 – kerugian sebanyak RM1.35 bilion
  • Pada tahun 2021- kerugian sebanyak RM1.65 bilion (data terakhir)

 

Belanjawan 2022 perlu dirangka dengan baik untuk menyelamatkan sektor pelancongan negara.

 

Pelbagai pelan dan inisiatif melalui Belanjawan 2022 perlu diperkenalkan untuk membantu semua yang terkesan dalam sektor pelancongan.

 

Kenapa Penting Untuk Selamatkan Sektor Pelancongan?

Pentingnya sektor pelancongan kepada negara dengan melihat sumbangan Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) pada tahun 2019 sebanyak RM240.2 bilion dan RM220.4 bilion pada tahun 2018 kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

 

Berdasarkan Laporan Satelit Pelancongan, yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kita dapat melihat sumbangan yang besar sektor pelancongan negara kepada KDNK negara.

 

Dari keuntungan yang berbilion kepada rugi yang berbilion juga, maka kerajaan perlu “menyelamatkan” sektor ini.

 

Modal Kerja dan Aliran Tunai yang Beku

Seperti yang kita sedia maklum, sektor pelancongan yang begitu lama “ditutup” kerana penularan COVID-19 ini  dan menyebabkan sektor ini mengalami masalah modal kerja dan aliran tunai dalam meneruskan kelangsungan operasi mereka.

 

Atas kekangan modal kerja dan aliran tunai  ini menyebabkan sektor ini mengalami masalah dalam menanggung kos operasi mereka  yang agak tinggi seperti pembelian bahan mentah, sewa premis, gaji pekerja, bayaran bulanan kenderaan pelancongan, bayaran bil utiliti dan lain-lain kos.

 

volatiliti
Penarik beca di Pulau Pinang. Gambar - Yaopey Yong 

 

Dana Khas Untuk Aliran Tunai

Bagi mengatasi masalah modal kerja dan aliran tunai sektor pelancongan ini, Belanjawan 2022 perlu memperkenalkan Dana Khas yang boleh membantu sektor pelancongan untuk bergiat aktif semula.

 

Walaupun negara telah memasuki Fasa Endemik dan rentas negeri sudah dibenarkan, dan pastinya sektor pelancongan boleh kembali aktif, namun sektor ini perlukan Dana Khas untuk diaktifkan. Modal kerja dan aliran tunai mereka telah beku,

 

Dana Khas ini boleh diberi kepada pengusaha sektor pelancongan yang terjejas untuk memulakan operasi semula dengan kadar pinjaman bermula RM30,000 hingga RM15 juta  mengikut keperluan dan kapasiti penggiat sektor pelancongan itu sendiri.

 

Kerajaan boleh bekerjasama dengan SME Bank bagi melaksanakan tujuan ini. Namun begitu, prosedur pinjaman Dana Khas ini perlu dipermudahkan bagi pengusaha sektor pelancongan untuk memohon.

 

Jika betul, ingin menolong, kerajaan dan SME Bank juga perlu mempertimbangkan kadar faedah yang bersesuaian bagi membantu pengusaha sektor pelancongan ini.

 

Janganlah seperti “menangguk di air yang keruh” mereka sudah susah, kita ambil kesempatan pula dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi pula. Biarlah ia menjadi “situasi menang-menang”.

 

volatiliti
Meneroka Gua Niah di Sarawak. Gambar - James Lo 

 

Pengecualian Bayaran Fi Lesen

Jika kerajaan betul-betul ingin membantu sektor pelancongan, Belanjawan 2022 perlu terus memberi  Inisiatif Pelanjutan Pengecualian Fi untuk semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang berlesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Peraturan-Peraturannya yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

 

Jika kerajaan meneruskan pengecualian ini dalam Belanjawan 2022, pastinya ia akan menggembirakan semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancongan di Malaysia.

 

Bantuan “One-Off” Kepada Agensi Pelancongan

Belanjawan 2022 juga boleh memberi bantuan “one-off” antara RM3,000 – RM10,000 kepada agensi pelancongan yang layak yang berdaftar di MOTAC.

 

Berdasarkan data, terdapat sebanyak 5,300 agensi pelancongan yang berdaftar dan mereka terjejas kerana tidak beroperasi hampir 2 tahun ini.

 

Banyak juga agensi pelancongan yang “gulung tikar” dalam tempoh dua tahun ini. Sebagai contoh, di Langkawi sahaja banyak agensi pelancongan yang terpaksa menutup operasi mereka.

 

Dek kerana itulah, kerajaan telah melancarkan Gelombang Pelancongan Langkawi untuk membantu semua yang terjejas di Langkawi.

 

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) dalam kenyataannya juga menyatakan banyak agensi di bawah PAPUH juga terpaksa menutup operasi mereka.

 

Jika Belanjawan 2022 memberikan insentif “one-off” kepada agensi pelancongan yang layak, ia sedikit sebanyak akan membantu agensi pelancongan yang telah gulung tikar ini untuk tertapak semula.

 

volatiliti
Menikmati flora dan fauna di Taman Negara Tanjung Piai, Johor. Gambar - Intan Yuhanis

 

Insentif Potongan Cukai & Diskaun Bil Elektrik

Sektor pelancongan yang baharu sahaja mahu mengerakkan semula operasinya juga perlu diberi Insentif Pengecualian Potongan Cukai menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi pengusaha sektor pelancongan yang layak.

 

Berilah ruang kepada pengusaha sektor pelancongan terutamanya inap desa dan pengusaha sektor pelancongan berskala kecil ini untuk bernafas semula dan mendapatkan keuntungan dahulu sebelum dikenakan cukai.

 

Selain itu, Belanjawan 2022 juga boleh mempertimbangkan diskaun bil elektrik antara 5% -15% bagi pengusaha sektor pelancongan. Ini kerana bil elektrik antara kos operasi yang agak tinggi bagi pengusaha sektor pelancongan.

 

Walaupun jumlah ini bukanlah begitu banyak untuk mengurangkan kos operasi pengusaha sektor pelancongan, sekurang-kurangnya ianya dapat meringankan beban pengusaha sektor pelancongan.

 

volatiliti
Pulau Perhentian di Terengganu. Gambar - Tommy Chen 

 

Halang Ringgit Keluar & Galakkan Cuti-Cuti Malaysia

Kerajaan juga menerusi MOTAC juga boleh menggiatkan promosi “Kempen Cuti-Cuti Malaysia” untuk menggalakkan rakyat negara ini melancong di dalam negara bagi melindungi pengaliran ringgit keluar.

 

Penggunaan platform digital seperti Cuti-Cuti Malaysia E-Travel Fair, E-Corporate Bazaar dan Malaysia Tourism Travel Bazaar boleh diperkasa bagi menyediakan pakej-pakej menarik untuk memudahkan rakyat memilih percutian dalam negara dengan mudah.

 

Jika pelancongan domestik diperkasa, aliran ringgit akan berlegar dalam negara dan ia akan membantu pengembangan ekonomi negara.

 

Belanjawan 2022 juga boleh memberi insentif kepada rakyat yang melancong dalam negara seperti baucar tunai atau pengecualian cukai daripada pakej pelancongan yang di tempah untuk melancong dalam negara.

 

volatiliti
Tidak perlu ke luar negara. Pulau Tioman cukup indah. Gambar - Louis Gan 

 

Kesan Pengganda Pelancongan

Sebenarnya, sektor pelancongan ini banyak memberi kesan pengganda kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

Dua komponen lain yang akan bergerak seiring dengan sektor pelancongan adalah aktiviti beli belah dan aktiviti makanan dan minuman.

 

Jika sektor pelancongan mampu beroperasi dengan baik, banyak Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga akan mendapat manfaat sama ada yang menjual pelbagai produk atau yang terlibat dalam aktiviti makanan dan minuman.

 

Sebagai contoh pengusaha songket, batik, barangan kraftangan, pengusaha keropok dan pelbagai IKS dan semua pengusaha makanan dan minuman yang akan menerima kesan positif jika sektor pelancongan mampu dipulihkan.

 

Pada tahun 2019, aktiviti beli-belah menyumbang 33.6% dan aktiviti  makanan dan minuman  pula menyumbang 13.3% kepada ekonomi negara.

 

volatiliti
Gunung tertinggi di Asia Tenggara: Gunung Kinabalu. Gambar - Ling Tang 

 

Kerjasama Serantau: ASEAN

Selain mengukuhkan pelancongan domestik, kerjasama serantau di kalangan negara anggota ASEAN perlu dieratkan bagi menghidupkan kembali  sektor pelancongan serantau.

 

Kerjasama dan usaha bersepadu yang erat antara negara anggota ASEAN harus segera dilaksanakan untuk menghidupkan kembali industri pelancongan serantau.

 

Industri pelancongan ASEAN menyumbang kepada 14.3% daripada KDNK dan 13.7% daripada jumlah pekerjaan di rantau ini.

 

Bagi memastikan pematuhan semua protokol penjagaan kesihatan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), "Pasport Kesihatan Digital ASEAN” boleh menjadi dokumentasi ujian dan vaksinasi yang berkesan dan bersesuaian dengan beberapa protokol kesihatan global dan ianya akan memberi keyakinan kepada pelancong.

 

Bagi menarik pelancong luar datang ke Malaysia, terutamanya pelancong rantau ASEAN, kempen ‘Malaysia Truly Asia” yang pernah kita perkenalkan dahulu boleh dijenamakan semula dengan strategi yang baharu.

 

Jika melihat kepada sejarah kempen ini pada tahun 1999, telah berjaya dan membawa lebih dari 7.4 juta pelancong dan meningkatkan pendapatan negara.

 

volatiliti
Bagai cermin alam. Taman Negara Bako di Sarawak. Gambar - Ir-One M 

 

Kembali Berdaya Saing

Bagi mengembalikan daya saing sektor pelancongan, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kelangsungan sektor ini dalam akhirnya akan menyumbang kepada ekonomi negara.

 

Harapannya agar Belanjawan 2022 ini akan “membawa berita gembira” kepada sektor pelancongan negara!  - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags