Skip to main content

Beli tanah: Impak terhad ke atas perolehan Mah Sing

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pengambilalihan sebidang tanah di Setapak oleh Mah Sing Group Berhad hanya mendatangkan impak yang terhad ke atas perolehan kumpulan dalam masa terdekat. 

 

Unjuran itu dibuat oleh penganalisis di MIDF Research, Jessica Low memandangkan projek pembangunan M Astra di atas tanah berkenaan akan bermula dalam tempoh empat tahun akan datang. 

 

“Mah Sing berhasrat untuk membiayai pengambilalihan tanah itu menerusi gabungan dana dalaman dan peminjaman bank. 

 

“Kami menjangkakan impak yang terhad ke atas kunci kira-kiranya memandangkan Mah Sing mempunyai tunai sebanyak RM1.2 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20). 

 

“Oleh itu, kami tidak melakukan sebarang perubahan kepada unjuran perolehan bagi FY21 dan FY22,” jelas Low dalam nota kajiannya hari ini.

 

Semalam, Mah Sing mengumumkan kumpulannya telah menandatangani perjanjian jual dan beli dengan Teratai Constructors Sdn. Bhd. bagi mengambil alih sebidang tanah di Tempat Jalan Genting Kelang. 

 

Baca : Mah Sing beli tanah RM89 juta bangunkan M Astra

 

Pengambilalihan tanah berukuran kira-kira 5 ekar itu melibatkan nilai pembelian sebanyak RM89 juta yang dijangka selesai pada 4Q21. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham Mah Sing dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.07 sesaham. 

 

Namun, penganalisis di Kenanga Research, Lum Joe Shen menyemak turun penarafan ke atas saham Mah Sing kepada ‘market perform' dengan TP masih kekal pada kadar RM1.05 sesaham. 

Joe Shen bagaimanapun melihat pengambilalihan itu sesuatu yang menarik memandangkan status tanah tersebut yang matang dan dikelilingi oleh pelbagai kemudahan. 

 

“Walaupun harga setiap tapak persegi M Astra pada kadar RM469, lebih tinggi berbanding harga pembangunan sekitar RM340 hingga RM481, kami fikir ini adil memandangkan lokasinya yang mempunyai buka depan baik. 

 

“Secara keseluruhannya, kami positif terhadap pengambilalihan tersebut,” kata beliau dalam nota kajian berbeza. 

 

Ketika laporan ditulis, nilai saham Mah Sing berada pada kadar RM1.00. - DagangNews.com