Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 22 December 2021

Benarkah pengurusan banjir negara lemah, tiada strategi?

 

 

HUJUNG minggu lalu, negara dikejutkan dengan banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia. Antara negeri yang terlibat dengan banjir ini ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

 

Namun begitu, pastinya tumpuan banjir kali ini adalah di Lembah Klang terutama Selangor yang disifatkan di luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air yang mendadak dan menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan banyak rakyat di negeri itu terjejas teruk.

 

Statistik bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam aplikasi dalam talian, melaporkan jumlah mangsa banjir sehingga semalam hampir 70,000 orang dengan 456 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menampung jumlah mangsa banjir di 8 negeri yang terlibat dengan banjir ini.

 

banjir

 

Lambat Bertindak?

Negeri-negeri yang biasa dilanda banjir pastinya telah lebih bersedia untuk menghadapi musim tengkujuh di hujung tahun.

 

Tetapi bagi Lembah Klang yang sebelum ini bukan negeri yang kebiasaan banjir pastikan “tiada” persiapan banjir dilakukan. Kalau ada banjir pun, banjir kilat sahaja.

 

Adakah rakyat boleh meletakkan hukuman bahawa kerajaan gagal kerana lambat bertindak untuk atasi banjir di Lembah Klang?

 

Kesalahan dan hukuman ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan. Kenapa?

 

Secara tuntasnya, dalam keadaan yang di luar kebiasaan dan banjir yang berlaku secara mendadak di banyak kawasan di Lembah Klang pastinya kerajaan juga “terkejut” dan bantuan dan pertolongan diberi secara berfasa dengan  tumpuan kepada keadaan kritikal sesuatu kawasan.

 

banjir

 

Perhalusi Peranan dan Fungsi NADMA

Dalam situasi banjir kini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dikatakan gagal berfungsi dengan baik dalam menguruskan bencana banjir di Malaysia.

 

Banyak pihak yang agak terkilan apabila NADMA mengeluarkan kenyataan bahawa agensi itu hanya menguruskan pampasan kepada mangsa banjir dan bukannya sebagai sebuah agensi yang menguruskan bencana secara menyeluruh.

 

Jika hanya menguruskan pampasan sahaja, ianya seolah-olah sebagai fungsi “syarikat insurans” yang membuat rakyat agak kecewa dengan NADMA.

 

Kerajaan perlu perhalusi peranan dan fungsi NADMA yang mana agensi ini adalah peneraju pengurusan bencana di Malaysia. Sepatutnya NADMAlah yang mengatur semua gerakan dan mengkoordinasi semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana terutamanya dalam kes banjir yang sedang melanda negara kini.

 

NADMA juga perlu terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri-negeri juga bagi memastikan peranan dan fungsinya dijalankan dengan baik.

 

Kerajaan Perlu “Turun Padang”

Kerajaan perlu segera menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di semua negeri yang terjejas kerana bencana ini.

 

Bantuan ini perlu dilihat dari skop yang lebih luas bukan sahaja bantuan menyelamatkan mangsa banjir semata-mata.

 

Kebanyakan mangsa turut mengalami kerugian dari segi kerosakan harta benda dan kerajaan harus mempertimbang bantuan kepada mereka yang terjejas dengan bencana ini.

 

Kementerian berkaitan harus segera turun padang bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir dan dari situlah bantuan yang sepatutnya boleh dinilai untuk disalurkan.

 

Bantuan Khas Banjir

Terbaharu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain.

 

PM

 

Hal ini sedikit sebanyak memberi sedikit kelegaan bagi mangsa banjir atas keprihatinan kerajaan pimpinan Ismail Sabri kepada mereka.

 

Kerajaan juga bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir bagi meringankan beban mangsa banjir.

 

Percepatkan Wang Ihsan

Dalam situasi semasa kini, kerajaan perlu mempercepatkan bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang telah dijanjikan oleh kerajaan pada September 2021 yang lalu kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau lain-lain bencana yang melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

 

BWI ini boleh diutamakan kepada negeri-negeri yang terjejas dengan banjir terutamanya Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan lain-lain.

 

Walaupun jumlah wang ihsan yang dijanjikan ini mungkin kecil nilainya, namun ianya sedikit sebanyak membantu mangsa banjir untuk membeli barang-barang keperluan yang utama bagi mereka.

 

PM

 

Kerajaan Prihatin dan Umumkan DRF 2022

Selain membantu individu yang terjejas, kerajaan juga telah mengambil langkah yang agak cepat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF 2022) dengan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

 

DRF 2022 akan membantu PMKS menampung kos membaiki dan mengganti aset untuk kegunaan perniagaan seperti loji dan mesin yang telah rosak akibat banjir dan untuk modal pusingan kerja untuk memulakan operasi.

 

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

PMKS di negeri yang terjejas banjir ini, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. PMKS ini yang sebelum ini terjejas teruk dek pandemik yang melanda hampir 2 tahun ini baharu sahaja mahu mulakan operasi bagi kelangsungan perniagaan mereka.

 

 Kini PMKS dihimpit masalah kerosakan aset yang menyebabkan kerugian yang lebih besar.

 

PMKS perlu menggunakan peluang yang disediakan oleh kerajaan menerusi DRF 2022 ini bagi bangkit semula. Kerajaan menerusi DRF 2022 menjanjikan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM500,000 bagi setiap PKS dan hingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.

 

Jika ingin bantu, bantulah betul-betul

Jika ingin membantu PMKS ini, kerajaan perlu memastikan kadar faedah yang dikenakan ke atas pembiayaan ini adalah yang minimum dan mampu untuk dibayar oleh PMKS.

 

banjir

 

Kita faham, institusi kewangan yang akan turut serta dalam DRF 2022 ini juga mahukan keuntungan mereka, tetapi janganlah kita menangguk di air yang keruh. PMKS perlu pembiayaan, kita bagi pembiayaan tetapi kita kenakan kadar faedah yang tinggi. Biarlah ia “menang-menang” kepada PMKS dan institusi kewangan.

 

Kadar faedah yang boleh dikenakan antara 2%-3.5% setahun adalah satu jumlah yang munasabah mengikut situasi semasa. Selain itu, bagi membolehkan PMKS ini “bernafas” semula, moratorium selama 3-6 bulan ke atas bayaran prinsipal dan kaedah faedah/keuntungan juga boleh diberikan kepada PMKS yang akan membuat pembiayaan ini.

 

Apa yang boleh dipantau oleh BNM juga dari segi ketelusan dan “kerenah birokrasi” institusi kewangan ini dalam menyediakan pembiayaan ini kepada PMKS. Ini isu yang sering kita dengar bahawa walaupun terdapat banyak insentif pembiayaan yang diumumkan kerajaan, PMKS masih tetap sukar mendapatkan pembiayaan ini.

 

Jika hendak membantu, biarlah betul-betul membantu!

 

Libatkan Lebih Banyak GLIC dan GLC Bantu Kerajaan

Kerajaan perlu libatkan lebih banyak syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyalurkan sumbangan secara tunai atau  geran padanan untuk sama-sama membantu kerajaan dalam membantu mangsa banjir ini tidak kira individu, perniagaan mahupun PMKS.

 

Syarikat GLIC dan GLC ini pastinya banyak meraih keuntungan sepanjang beroperasi di Malaysia. Apa salahnya menyumbang kepada kerajaan sebagai sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada kerajaan. Tak kan bab untung gembira, bab nak membantu dan menyumbang hendak berkira dan mengelak.

 

Terdahulu, Khazanah Nasional Berhad dan yayasannya, Yayasan Hasanah masing-masing mengumumkan sumbangan bernilai RM5 juta dan RM2.5 juta untuk membantu menyokong usaha kerajaan bantuan segera kepada mangsa banjir. 

 

Namun begitu, kerajaan perlu lebih agresif untuk libatkan lebih banyak GLIC dan GLC ini dalam membantu kerajaan dalam membantu kesemua entiti mangsa banjir. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing!

 

banjir

 

Jangan Politik Isu Banjir

Namun tugas dan tanggungjawab ini perlu dipikul dan digalas oleh semua pihak tanpa mengira sesiapa sahaja.

 

Ada juga dalam kalangan ahli politik yang cuba “cucuk jarum” untuk mempolitikkan isu banjir ini. Sudah-sudahlah tu. Janganlah ahli politik cuba untuk mempolitik kan isu banjir ini.

 

Ini bukan masa yang sesuai untuk berpolitik. Apa yang lebih penting bagaimana perjuangan demi nilai sebuah kemanusiaan!

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

Portfolio Tags