Benarkan operasi 50% tenaga kerja, sektor 'non-essential' hadapi masalah aliran tunai serius - FMM | DagangNews Skip to main content

Benarkan operasi 50% tenaga kerja, sektor 'non-essential' hadapi masalah aliran tunai serius - FMM

Tan Sri Soh Thian Lai
Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, Tan Sri Soh Thian Lai

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Syarikat pembuatan sektor bukan perlu atau 'non-essential' perlu diberi kebenaran beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja sebanyak 50%.

 

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, kebenaran tersebut perlu diberi tanpa mengambil kira sama ada syarikat berkenaan berada dalam Fasa 1 atau Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

"Pengeluar dalam sektor bukan perlu, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM), kini berada dalam keadaan tenat dan telah terjejas teruk oleh penggantungan perniagaan yang berpanjangan.

 

"Kaji selidik FMM juga menunjukkan sektor berkenaan  terjejas teruk dan perniagaan menghadapi kekangan aliran tunai yang serius berikutan pesanan yang tertangguh dan yang akan datang terganggu dengan ketidaktentuan mengenai bila operasi akan dibenarkan disambung semula," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Menurut beliau lagi, bagi pihak pembekal, golongan berkenaan menjangkakan akan menerima bayaran tepat pada waktunya.

 

Selain itu, gaji pekerja perlu dibayar sepenuhnya, utiliti, sewa dan kos logistik meningkat berikutan pembatalan/penangguhan penghantaran dan/atau kargo yang berada di pelabuhan selain penalti turut dikenakan terhadap kelewatan penghantaran.

 

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan kebanyakan perniagaan dalam sektor bukan perlu berada dalam situasi yang amat tidak menentu.

 

Masalah tersebut menurutnya mampu mengakibatkan pengangguran yang tinggi jika sekatan terhadap operasi perniagaan berterusan tanpa tempoh yang tidak dapat ditentukan," katanya lagi.

 

"Jika mereka tidak dibenarkan untuk menyambung semula operasi dengan segera, banyak perniagaan yang tidak akan ada untuk membantu membina semula ekonomi apabila perniagaan dibenarkan untuk dibuka semula," ujar beliau. - DagangNews.com