Skip to main content

Berbelanjalah tetapi jangan boros, impak COVID-19 lama lagi

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

BEBERAPA sahabat berbincang mengenai ekonomi negara di dalam sidang-sidang randau teh tarik sejak awal bulan ini. Ada juga yang minta pandangan menerusi emel.

 

Soalan yang lazim ialah:

  1. Bagaimanakah keadaan ekonomi negara dalam kemelut pandemik COVID-19 ini?
     
  2. Apakah pengenalan vaksin COVID-19 bukan sahaja akan menjadikan kita kalis virus corona tetapi juga kalis kemelesetan ekonomi?
     
  3. Apakah pakej-pakej rangsangan, bantuan dan kecemasan ekonomi yang diusahakan oleh kerajaan boleh menampan ketiadaan pelaburan terus asing (FDI) malah pelaburan domestik?
     
  4. Dengan ekonomi menjadi stagnant atau lembap, apakah yang wajar kumpulan B40 lakukan untuk kesinambungan hidup?
     
  5. Apa pula peranan M40 yang mungkin tidak berada di garisan merah seperti B40, boleh lakukan bagi membantu perjalanan ekonomi.

 

Berat persoalan yang dilontarkan. Jadi tidak sedap pula teh tarik, lalu tidak dihirup menjadi sejuk segelas tidak habis.

 

merrepak

 

Sahabat-sahabat ini menelaah dan meneliti laporan-laporan ekonomi. Bukannya mereka bergantung harap dengan apa yang saya huraikan. Sebab huraian saya pun berdasarkan laporan ekonomi, yang mungkin mereka baca serupa. Namun, yang menjadi persamaan ketara ialah persoalan pengangguran.

 

Ini bukan isu main tembak atau tangkap muat. Ini isu benar-benar yang anda sendiri boleh lihat dengan mata anda sendiri. Berapa industri sudah ranap akibat pandemik COVID-19 ini tercetus hampir setahun yang lalu? Industri penerbangan, teruk terkena. Industri pelancongan, juga teruk. Itu sekadar menyebut industri yang kena `impak langsung’.

 

Kadar pengangguran sangat tinggi

Kita sedang menanti laporan kadar pengangguran bagi Disember 2020 oleh kerajaan. Ramai pemerhati menjangka kadar itu kekal tinggi dengan mengambil kira persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan. 

 

merrepak

 

Jabatan Perangkaan pada 11 Januari lalu, mengeluarkan statistik tenaga buruh pada November yang menyaksikan kadar pengangguran pada November meningkat kepada 4.8% berbanding 4.7% pada Oktober. 

 

AmBank Research menjangkakan, kadar pengangguran akan mencecah sekitar 4.9 hingga 5% pada akhir tahun 2020 walaupun terdapat kemungkinan ia akan stabil sekitar 4.7%. 

 

Keputusan kerajaan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 menyaksikan ekonomi beroperasi di bawah kawalan SOP yang ketat. 

 

"Tetapi dalam masa sama, ia juga memberi kesan kepada pasaran buruh pada November apabila lebih ramai hilang pekerjaan dan berada di luar pasaran buruh.

 

"Tekanan secara berterusan dalam aktiviti ekonomi disebabkan ketidaktentuan yang melingkari situasi pandemik ketika ini dan juga pengurusan vaksin COVID-19, akan menyaksikan pasaran buruh kekal berdepan cabaran," katanya dalam nota kajian. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, November 2020 menyaksikan trend penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya. 

 

Antara lain, katanya, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu. 

 

Pada November, penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan berjumlah 83.4%, meningkat 2.3% mencatatkan sejumlah 637,700 (Oktober 2020: 623,100).2

 

Pasaran buruh kekal malap

Sementara itu, UOB Global and Market Research dalam nota kajian berkata, pasaran buruh dalam tempoh terdekat kekal malap memandangkan gelombang ketiga COVID-19 berpanjangan sehingga Januari 2021. 

 

merrepak

 

Kesan ini bergantung kepada sejauh mana SOP baharu diperluaskan, tempoh masa dan liputan dalam pelaksanaan ini. 

 

MIDF Research pula berpendapat aktiviti ekonomi yang lemah akan menyaksikan sekali lagi langkah rasionalisasi termasuk dari segi pengambilan pekerja apabila syarikat bergelut dengan masalah kewangan bagi mengekalkan operasi. 

 

Keadaan ini pasti akan memberi kesan kepada pemulihan dalam pasaran buruh setelah kadar pengangguran melonjak 5.3% pada Mei lalu. 

 

Pengangguran yang dijangka meningkat dalam sektor tidak penting (non-essential) dan pengurangan aktiviti di restoran, misalnya adalah tinggi. 

 

Ini sudah tentu menyebabkan pasaran buruh semakin lemah dan pendapatan rendah akan memberi kesan kepada aktiviti penggunaan sekali gus mengheret turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga 0.8 mata peratusan. 

 

Apa kita boleh buat dalam ekonomi tidak menentu ini?

Kembali kepada persoalan yang dilontarkan pada sesi randau teh tarik di atas, apa kita kena buat untuk diri sendiri dan negara?

 

Merrepak hanya boleh memberi nasihat. Hendak ikut, terserah kepada anda. Soal betul atau tidak, pun terserah kepada anda. Tetapi Merrepak sendiri memang akan cuba mengikuti sebaik mungkin perkara berikut:

 

  1. Berbelanja, tetapi jangan boros

Memang duit akan sukar terutama yang bekerja sendiri atau bergaji hari. Anda kena menyimpan. Kena bercermat. Kalau ada terima duit iSinar, gunakan dengan bijak untuk sekarang, supaya tidak susah di masa depan.

Tetapi anda jangan takut berbelanja. Belanjalah dengan bijak. Sebab bila kita gunakan wang dengan bijak, ia akan membantu kitaran ekonomi. Duit anda belanja di kedai runcit, pekedai akan bayar pembekal, pembekal bayar kepada pengilang. Pengilang bayar gaji pekerja. Pekerja beli barangan di kedai. Ini kitarannya. Bayangkan jika anda tidak berbelanja.

Tetapi jangan boros. Anda kena berwaspada. Kena kira dengan cermat. Jangan buang air di tempayan, ingatkan tiada lagi bekalan air terputus. Jangan buang. Masa COVID-19 pun Lembah Klang boleh terputus bekalan disebabkan pencemaran.

 

merrepak

 

 

  1. Ada kerja sekarang, kekal jangan lompat

Lazimnya golongan milenial suka lompat kerja. Beza gaji dari syarikat A dengan syarikat B tidak seberapa. Bagaimana hendak `demand’ bila resume pun nipis, tambah-tambah lagi duduk tak sampai 3 bulan di sesebuah syarikat dalam setahun. Majikan baru pun seram baca resume.

Buat masa ini, golongan pelompat kerja ini disaran, bawa berehat sekejap. Duduk setia di syarikat sekarang, tekun buat kerja. Sebab peluang pekerjaan kini makin kurang. Hargai syarikat anda sekarang yang masih mahu anda kekal bekerja dengan mereka. Susah senang syarikat nak mengawal kos operasi pun kena anda insafi.

Cubalah baca kisah kilang atau syarikat terpaksa ditutup disebabkan tiada hasil pendapatan semasa COVID-19 ini. Kisah ini benar-benar berlaku. Mungkin bila anda keluar, beratus-ratus memohon jawatan yang anda tinggalkan. Tapi anda yakin dapat kerja di tempat baru? Tempat baru itu nanti boleh bertahan juga ke?

 

 

merrepak

 

 

  1. Bersedekah

Dalam konsep Islam, memberi sedekah itu adalah dijanjikan pahala besar dan sangat disukai kerana ia menggalakkan membantu orang lain, lebih-lebih lagi jika sedekah itu disampaikan senyap-senyap tanpa kehadiran jurukamera yang kemudiannya disiarkan di Facebook.

Konsep bersedekah ini juga diyakini oleh umat Islam bahawa Allah Ta’Ala membuka rezeki lebih luas lagi kepada orang-orang yang bersedekah ikhlas. Bersedekahlah kita semua kepada orang yang memerlukan, Insya-Allah rezeki kita dibuka lebih luas.

 

merrepak

 

Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji,. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui”. (Al Baqarah: 261)

 

Sedekah adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seorang muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Ia juga adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seseorang sebagai kebajikan yang mengharap redha Allah S.W.T dan pahala semata. Di dalam Al Quran, banyak ayat yang menyuruh kaum muslimin untuk sentiasa memberikan sedekah.

 

Bersedekahlah semasa ekonomi negara berdepan dengan kebejatan sekarang, supaya usaha kita ini dapat sama-sama membantu menghidupkan semula enjin ekonomi negara. - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Ketua Kandungan TV Sarawak, Editor DagangNews.com dan bekas Editor Eksekutif Utusan Malaysia 1938, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Master of Puppets oleh Metallica berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.