Beri peluang Kabinet baharu buktikan keupayaan dalam 100 hari (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Beri peluang Kabinet baharu buktikan keupayaan dalam 100 hari (SURAT PEMBACA)

Saudara Pengarang,

 

Akhirnya, segala persoalan dan kekusutan terhadap isu siapakah yang bakal mengisi pasukan Kabinet Malaysia 2021 yang baharu telah terjawab pada 27 Ogos 2021.

 

Dengan kekuatan seramai 31 menteri penuh dan 38 timbalan menteri setelah diperkenankan oleh oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, ini jelas menzahirkan kesungguhan dan komitmen Dato’ Sri Ismail Sabri  selaku Perdana Menteri yang ke-9 untuk bersama-sama dengan beliau bagi menerajui bahtera kepimpinan beliau sebelum menjelangnya pilihanraya umum kelak.

 

Selain itu, turut mencuri tumpuan ramai adalah jumlah lantikan menteri dan timbalan menteri dari negeri Sabah dan Sarawak yang agak besar iaitu seramai 16 orang. Majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri Persekutuan pula dijadualkan akan berlangsung 30 Ogos 2021.

 

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa tiada lantikan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada kali ini. Ini merupakan kali kedua jawatan kedua penting tersebut ditiadakan dalam senarai Jemaah Menteri; sebaliknya digantikan dengan jawatan Menteri Kanan.

 

Untuk rekod, sejarah negara mencatatkan bahawa semasa era kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau tidak menamakan TPM semasa mengumumkan barisan kabinetnya pada 9 Mac 2020 yang lepas.

 

‘Rumah telah pun siap, namun pahat masih berbunyi’; begitulah perumpamaan yang penulis rasakan begitu sesuai untuk disinonimkan dengan isu berkaitan dengan pembentukan Kabinet Malaysia 2021 yang baharu itu.

 

Ini kerana terdapat sebilangan rakyat negara ini yang kelihatan ‘tidak berpuas hati’ mahupun ‘kecewa’ dengan senarai anggota Jemaah Menteri tersebut yang mana ada menyatakan bahawa amalan ‘kitar semula’ masih lagi diteruskan oleh kepimpinan yang baharu ini.

 

Ini susulan daripada lantikan semula sebilangan menteri atau timbalan menteri daripada kerajaan yang terdahulu; selain daripada kemasukan sebahagian muka-muka lama sedangkan ada yang berpendapat bahawa masih terdapat ramai lagi  pemimpin muda penyokong kerajaan yang memiliki potensi yang cerah dan wajar diberikan ruang dan peluang untuk sama–sama berada dalam saf pasukan beliau.

 

 

kabient

 

 

Selain itu, jumlah komposisi senarai Jemaah Menteri yang baharu ini turut dianggap ‘membazir’ dan ‘tiada keperluan’ jika dilihat pada situasi sekarang yang lebih mengutamakan penjimatan secara berhemah.

 

Pada sisi yang lain pula, terdapat juga cakap-cakap kosong yang mengatakan bahawa lantikan tersebut juga merupakan satu ‘usaha’ Perdana Menteri untuk memastikan agar mereka terus menyokong kerajaan beliau.

 

Lebih nakal lagi, ada pihak yang cuba melontarkan suatu idea yang agak ‘unik’ iaitu terdapat cadangan supaya melantik menteri atau timbalan menteri daripada pihak Pakatan Harapan bagi sama-sama menerajui barisan kepimpinan negara yang baharu.

 

Bagi menzahirkan azam dan iltizam beliau dalam usaha ke arah memastikan agar kelangsungan kebajikan rakyat agar terus terbela; bertanggungjawab dan memiliki sifat amanah di samping turut berusaha untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa setiap kementerian perlu mencapai KPI (rancangan jangka pendek dan panjang) seperti mana yang telah ditetapkan dalam tempoh 100 hari pertama tanpa sebarang kompromi.

 

Ini bagi membuktikan bahawa barisan Kabinet Malaysia yang baharu ini begitu serius dan komited dalam melaksanakan agenda kerajaan pada saat-saat getir ini.

 

Sesungguhnya, sebagai warga Malaysia yang berfikiran matang dan bijak serta tidak beremosi, adalah lebih wajar dan sesuai untuk kita berikan ruang dan peluang kepada Kabinet Malaysia 2021 yang baharu ini dalam melaksanakan segala amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan proaktif dan efektif.

 

Adalah tidak molek sekiranya kita bersikap ‘lebih sudu daripada kuah’ kerana tindakan tersebut dibimbangi bukan sahaja sahaja akan merugikan kita sendiri kelak. Oleh yang demikian, penulis ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama kita hadam dan hayati prinsip ‘Keluarga Malaysia’ dengan menyertai semangat Kabinet Baharu Malaysia 2021 dengan hati terbuka dan berlapang dada demi memacu kecemerlangan dan kesejahteraan bersama.

 

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-64, Malaysia!

 

Mohd Ab Malek bin Md Shah
Pensyarah Kanan,
Jabatan Undang-Undang,
UiTM Cawangan Melaka