Berkembang dalam inisiatif blockchain China, penganalisis kekal saranan 'beli' saham MYEG | DagangNews Skip to main content

Berkembang dalam inisiatif blockchain China, penganalisis kekal saranan 'beli' saham MYEG

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - MIDF Research kekal optimis terhadap prospek jangka panjang MYEG Services Bhd. terutama menerusi kerjasama terbaharunya dengan Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi
China (CAICT) bagi memperluaskan rangkaian blockchain China.

 

Kerjasama itu bertujuan membangunkan tulang belakang antarabangsa dan ‘supernodes’ kepada Kemudahan dan Infrastruktur Blockchain (BIF) Xinghuo di luar China, sekali gus berfungsi sebagai gerbang antarabangsa kepada ekonomi digital China yang berkembang maju.

 

'Xinghuo BIF International Backbone’ dan ‘Supernodes,’ dikenali sebagai Zetrix Blockchain yang dibangunkan MyEG akan menyediakan kesalinghubungan kepada infrastruktur blockchain China bagi membolehkan perdagangan rentas sempadan yang lancar dan memudahkan kerjasama global dalam pembangunan ekonomi digital.

 

Melihat kepada kepentingan platform Xinghuo-Zetrix kepada pengeksport Malaysia yang boleh meraih manfaat menerusi Kerjasama Ekonomi Komprehensif Wilayah (RCEP), MIDF Research positif terhadap kerjasama tersebut kerana ia mampu memperkukuhkan prospek jangka panjang perniagaan MYEG.

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham MYEG dengan harga sasaran juga disemak lebih tinggi pada RM1.22 berbanding RM1.08 sebelum itu. 

 

"Langkah MYEG untuk bekerjasama dengan rangkaian blockchain China bukan sahaja membuka peluang perniagaan kepada syarikat di negara ini memasuki pasaran Xinghou BIF, tetapi juga membantu mereka memanfaatkan perdagangan rentas sempadan dengan China kerana negara ini menyumbang 56% daripada perdagangan multilateral bernilai kira-kira AS$2.5 trilion menerusi 15 anggota RCEP.

 

"Oleh itu, dengan mengambil kira semua faktor, kami positif terhadap kerjasama ini kerana ia melengkapi penawaran perniagaan MYEG dalam imigresen, automotif, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kewangan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menerusi kerjasama itu, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 dan seterusnya apabila mencapai perjanjian komersial secara formal.

 

MIDF Research turut menaikkan unjuran hasil dan pendapatan bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak 6.8%, 6.3% dan 6.3% susulan keputusan kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri dan antarabangsa yang akan menyaksikan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan dan lain-lain yang ditawarkan MYEG akan meningkat semula.

 

"Selain daripada perkhidmatan pengangkutan jalan raya dalam talian, kami juga berpendapat bahawa 
inisiatif blockchain termasuk kehadiran dan kerjasama global dilihat memberi kesan positif kepada sumbangan kumpulan dalam tempoh terdekat," tambahnya. - DagangNews.com