BHB terbit 222.22 juta saham baharu dijangka raih dana RM795.6 juta | DagangNews Skip to main content

BHB terbit 222.22 juta saham baharu dijangka raih dana RM795.6 juta

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 April - BIMB Holdings Berhad (BHB) akan menerbitkan 222,222,000 saham baharu, yang mewakili 12.0% daripada modal terbitan saham BHB setakat 12 April 2021.

 

Langkah itu diumumkan Lembaga Pengarah BIMB Holdings Berhad (BHB) yang penetapan harga berkaitan penempatan sahamnya telah disempurnakan hari ini oleh ejen penempatan bersamanya, BIMB Securities Sdn Bhd. dan Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB).

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, BHB berkata, penempatan ini telah menerima lebihan langganan daripada kedua-dua pemegang saham sedia ada dan pelabur baharu.

 

"Lembaga Pengarah telah menetapkan harga terbitan pada kadar RM3.58 sesaham penempatan, mewakili diskaun kira-kira 9.4% pada Harga Purata Harian Saham BHB untuk lima hari urus niaga sehingga dan termasuk 12 April 2021 iaitu RM3.9521 sesaham.

 

"Hasil kutipan kasar daripada langkah penetapan saham ini adalah berjumlah kira-kira RM795.6 juta," katanya.

 

Maybank IB juga merupakan penasihat utama langkah penstrukturan semula BHB. 

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed amat
menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pemegang saham dan pelabur BHB dalam usahanya untuk melangkah ke masa depan yang lebih cerah bagi sektor kewangan dan perbankan Islam di negara ini.

 

Pada 1 April lalu, para pemegang saham dan waran BHB telah meluluskan cadangan penstrukturan semula Kumpulan Syarikat yang dibuat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa dan Mesyuarat yang Diarahkan oleh Mahkamah.

 

Ia menyaksikan Bank Islam mengambil alih status penyenaraian BHB dan langkah penstrukturan itu dijangka selesai menjelang Ogos 2021. - DagangNews.com