Bidaan projek LSS di Malaysia sangat kompetitif, syarikat utiliti 'lari' ke luar negara | DagangNews Skip to main content

Bidaan projek LSS di Malaysia sangat kompetitif, syarikat utiliti 'lari' ke luar negara

Proses bidaan bagi projek LSS yang dijalankan sangat kompetitif dan kadar pulangan pula adalah rendah. - Gambar hiasan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor tenaga dengan saranan 'beli' ke atas Tenaga Nasional Bhd. (TNB) pada nilai wajar (FV) RM12 sesaham. 

 

Turut diberi saranan 'beli' ialah YTL Power International Bhd. dengan FV pada 77 sen sesaham. Sebaliknya, Malakoff Corp. Bhd. dengan saranan 'pegang' pada FV 90 sen. 

 

Dalam laporan prospek tenaga bagi 2022, penganalisisnya, Gan Huey Ling berkata, TNB dan Malakoff kemungkinan akan meneroka pasaran antarabangsa dengan meluas dalam usaha mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui (RE). 

 

Walaupun terdapat projek solar berskala besar (LSS) di Malaysia, tetapi kapasitinya adalah kecil sekitar 50 hingga 100MW setiap satu. 

 

Tambahan pula, katanya, proses bidaan yang dijalankan sangat kompetitif dan kadar pulangan pula adalah rendah. 

 

"Oleh itu, kami percaya aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) akan kembali rancak pada 2022 apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.

 

"Kami berpendapat, TNB lebih berminat dengan projek RE di United Kingdom (UK) dan Eropah," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

 

TNB
TNB kini mahu mengembangkan penyertaannya dalam tenaga boleh diperbaharui.

 

 

Pada Oktober lalu, TNB memeterai Perjanjian Pembelian Saham (SPA) untuk memperoleh 49% pegangan syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR).

 

Pemerolehan itu menandakan penyertaan sulung syarikat utiliti itu dalam pasaran ladang angin luar pesisir berikutan pemilikan aset angin BODL di perairan Blyth, Northumberland, England.

 

Sebelum itu, pada September 2020, TNB meningkatkan pegangan dalam Vortex Solar Investments kepada 55% daripada 50% membabitkan nilai sebanyak 11 juta pound. 

 

Vortex Solar merupakan salah satu syarikat solar terbesar di UK. Pada Mac 2020, TNB memperoleh baki 20% pegangan dalam aset anginnya di UK bernilai 18.6 juta pound.

 

Menurut Huey Ling, TNB tidak akan membangunkan lagi loji jana kuasa arang batu pada masa hadapan dan merancang untuk meningkatkan penyertaan dalam RE kepada 8,300MW menjelang 2025 daripada 3,421 MW setakat September 2021. 

 

Malakoff turut merancang untuk memperluaskan kapasiti RE kepada 1,000 MW dalam tempoh itu daripada 44MW buat masa ini. 

 

Malah, Malakoff kini tertumpu kepada projek solar panel di atas bumbung dan pengurusan sisa serta membida untuk projek LSS dan loji tenaga sisa kepada tenaga (WTE) di Malaysia. 

 

 

malakoff
Malakoff giat membida projek sisa kepada tenaga di Malaysia.

 

 

Beliau berkata, Malaysia mungkin akan membuka bidaan bagi projek LSS5 pada tahun hadapan meskipun terdapat rizab margin tenaga yang tinggi. 

 

Katanya, sasaran negara adalah untuk mempunyai 31% Re daripada campuran janakuasa menjelang 2025. 

 

"Kami percaya bahawa kadar pulangan dalaman untuk loji solar di bawah LSS5 mungkin rendah kerana proses pembidaan dijangka sangat kompetitif," tambahnya. 

 

Kadar rujukan tarif bagi tender LSS semakin menurun sejak beberapa tahun lalu. Ia berada pada 24 sen /kWh untuk LSS4 berbanding 41 sen/kWh bagi LSS1 dan 32.4 sen/kWh untuk LSS2 dan LSS3.

 

Dalam pada itu, menurutnya, lebih banyak negeri seperti Pahang, Terengganu dan Kedah akan membuka proses bidaan bagi loji WTE pada tahun hadapan. 

 

Ini kerana katanya, Malaysia sepatutnya mempunyai 6 loji WTE dalam tempoh 3 tahun akan datang. 

 

"Setakat ini, bidaan bagi loji WTE di Melaka dan Johor sudah pun ditutup, dan kami jangkakan pembida berjaya akan diumumkan bila-bila masa sahaja. Antara pembidanya termasuklah Malakoff," katanya.

 

Beliau turut menganggarkan margin rizab tenaga negara berada dalam julat antara 45 hingga 50% pada 2022 berikutan pentauliahan loji jana kuasa gas kitaran gabungan, Edra Energy dengan kapasiti 2,242MW pada separuh kedua 2021 dan loji tenaga solar 713MW yang akan mula beroperasi di bawah LSS1 dan LSS2.

 

"Sebaliknya, hanya satu perjanjian pembelian kuasa dijangka tamat pada tahun hadapan, iaitu loji kuasa gas GB3 Malakoff, yang mempunyai kapasiti 640MW," katanya. 

 

Mengenai tarif surcaj, Huey Ling berkata, ia mungkin dilaksanakan untuk pengguna komersial dan perindustrian pada separuh pertama tahun hadapan kerana kos bahan api melebihi kadar rujukan yang ditetapkan di bawah Tempoh Regulatori Kedua (RP2) Interim. 

 

Bagaimanapun, katanya, pengguna kediaman tidak dikenakan tarif surcaj ini disebabkan pemberian subsidi daripada Dana Industri Tenaga. 

 

"Disebabkan oleh kos kepada pengguna komersial dan industri, kami berpendapat bahawa TNB tidak akan terjejas oleh lonjakan kos tenaga ini, justeru, kadar pulangan TNB sebanyak 7.3% di bawah RP2 Interim akan dilindungi," jelasnya.

 

Beliau juga menjangkakan volum tenaga elektrik akan meningkat sebanyak 3% di Semenanjung Malaysia pada 2022 dipacu sektor komersial, setelah memulakan operasi pada September lalu. 

 

Katanya, permintaan tenaga elektrik bagi sektor perindustrian adalah stabil pada tahun hadapan memandangkan gangguan loji atau kilang akan berkurangan apabila kes jangkitan semakin menurun. 

 

"Selain itu, permintaan elektrik bagi sektor domestik dan kediaman juga menurun sedikit apabila ramai yang sudah kembali ke pejabat," jelasnya. - DagangNews.com