Bidasari: Kisah Alam Melayu paling romantis | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 23 October 2021

BIDASARI : KISAH ALAM MELAYU PALING ROMANTIS

 

 

Daripada sehari kepada sehari,
Dipeliharakan saudagar laki isteri,
Telah cerdik Bidasari,
Bertambah manis durja berseri,

 

Putih kuning warna gemilang,
Sedap manis bukan kepalang,
Dipatut dengan subang dan gelang,
Seperti manikam di dalam balang,

 

Hidungnya seperti kuntum melur,
Wajah laksana kuning telur,
Putih seperti warnanya hablur,
Berpatutan sanggul mayang mengulur.

 

Sebelum ini, Dari Hikayat kita menceritakan kisah Bidasari yang berasal dari Syair Bidasari. Pernah dinobatkan sebagai syair paling romantik dunia Melayu, legenda ini diadaptasi untuk filem pada tahun 1965. Pelakon utamanya adalah Jins Shamsuddin dan seniwati Sarimah memegang watak Bidasari.

 

hikayat

 

Mari kita lihat bagaimana kisah yang popular di serata Kepulauan Melayu ini iaitu di Filipina, Malaysia, Indonesia, Singapura dan juga Brunei pada masa dahulu dikaji oleh dua tokoh kesusasteraan Melayu Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh,  V I Braginsky dari Rusia dan ramai lagi seluruh Asia.

 

Prof Muhammad dalam eseinya, “Duka Sengsara Yang Indah: Estetika Melayu Daripada Duka Alam” merungkai keindahan syair Bidasari melalui kaca mata kepedihan hidup atau ‘duka sengsara’.

 

Prof V Braginsky pula melihat keindahan bahasa genre syair romantis ini sebagai kekuatan syair Bidasari. Dua pandangan berbesa berkisar tentang keindahan syair ini.

 

Daripada sehari kepada sehari,
Dipeliharakan saudagar laki isteri,
Telah cerdik Bidasari,
Bertambah manis durja berseri,

 

Putih kuning warna gemilang,
Sedap manis bukan kepalang,
Dipatut dengan subang dan gelang,
Seperti manikam di dalam balang,

 

Hidungnya seperti kuntum melur,
Wajah laksana kuning telur,
Putih seperti warnanya hablur,
Berpatutan sanggul mayang mengulur.

(Syair Bidasari)

 

 

hikayat
BIDASARI and the DJINN karya Ninot Aziz.

 

Permaisuri Lila Sari Berjaya memperdayakan seluruh keluarga Saudagar dan membawa pergi Bidasari. Walaupun hatinya berat, Saudagar Jouhara memberikan restu untuk Bidasari pergi bersama Permaisuri. Dia akhirnya merasakan tiada ada apa-apa yang akan berlaku. Apatah lagi sikecil molek ikan emas yang berkongsi nyawa dengan anaknya itu tidak dibawa bersama, dan ditempatkan khas di taman terpencil, selamat daripada bahaya.  Bidasari meninggalkan rumahnya, untuk memasuki istana agam lagi hebat di Inderapura ini. 

 

Walau bagaimanapun, dari saat itu, Bidasari dipenjarakan, diseksa dan diperlakukan sebagai hamba. Bingung dan bersendirian, Bidasari cuba memahami niat ratu. Hanya kenangan ibu bapanya serta ikan emas tersayang dapat meredakan kesedihan diperlakukan sedemikian.

 

Akhirnya Lila Sari setelah membuka firasat dan bicara tahu menghantar seseorang untuk mencuri ikan dari taman indah, lalu mengeluarkannya dari air.

 

Bidasari terus terkujur jatuh seolah-olah tiada bernyawa.

 

Permaisuri kejam gembira bukan kepalang. Lila Sari menghantar Bidasari ke rumah saudagar setelah beberapa minggu keadaannya yang tidak sedarkan diri, bagai tidak bernyawa lagi.   Semua kebahagiaan isi rumah ini telah musnah dan Saudagar Jouhara yang kesedihan membina  satu makam khas di taman yang bersempadan dengan hutan. Hari-hari berlalu, Saudagar Jouhara percaya bahawa Bidasari telah dianiayai dengan sihir. Namun, dia tidak akan berputus asa dan cuba untuk mencari jalan untuk menyedarkan Bidasari kembali. 

 

Satu hari, dijadikan cerita, Raja Inderapura berburu dan terserempak dengan makam Bidasari yang sangat indah. Hatinya terdetik untuk mengetahui kisah yang terjadi.

 

Siapakan gadis itu?

     Di manakah keluarganya?

           Apakah nasib yang menimpanya?

Seribu persoalanan bermain dikepalanya.

 

 

Raja berjumpa pula dengan Saudagar Jouhara yang menceritakan hal Bidasari dan ikannya. Raja Inderapura itu terkejut Bidasari itu pernah tinggal di istana!

 

Lalu dia berangkat pulang ke istana bersedia untuk menanyakan hal sebenar dengan Lila Sari. Apabila dia tiba, Lila Sari meluru menyambut suaminya. Pada saat itu, Raja Inderapura  terlihat ikan emas di leher Permaisurinya itu. Sedarlah Raja itu semua adalah seperti yang dijangkakan oleh Saudagar Jouhara. Dengan penuh kecewa, ia mengambil ikan di leher Lila Saria dan meletakkannya dalam mangkuk emas berisi air. Sebaik sahaja ikan emas bermula renang, Bidasari yang jauh dimata, terus terjaga.

 

Rajapun  menunggu ketibaan Bidasari. Akhirnya Bidasari pulang ke pangkuan keluarga dan Raja yang begitu menyayanginya.   Semuanya hidup aman bahagia.

 

Lila Sari yang kejam durjana dibuang negeri buat selama-lamanya.

 

hikayat
Buku ini menggunakan imej Sarimah, mungkin inspirasi daripada
filem lakonannya, Bidasari pada 1965. - Gambar hiasan

 

 

Ini sudah tentu satu ringkasan cerita Syair epik Bidasari. Mungkin agak susah untuk membaca syair pada zaman sekarang yang semuanya serba serbi cepat dan ‘on the minute’. Namun terdapat satu ritma bahasa menyantuni keindahan dan kecantikan bahasa itu sendiri serta adab pekerti dalam syair ini yang elok diperkenalkan semula.

 

Karya ini dijangka telah ada di Nusantara lebih 300 tahun lamanya. Sepatutnya semua hikayat lama mendapat perhatian semula oleh pihak berkenaan kerana hikayat adalah karya yang mencerminkan tamadun, kreativiti dan jatidiri bangsa yang ‘mematutkan’ segala yang baik.



Diharap pencinta kesusasteraan dan mereka yang cintakan seni dan budaya akan mengupas semula kisah-kisah legenda sebegini, mengolah dan membawanya  ke  panggung, Netflix, Youtube dan pementasan untuk menikmati kisah penuh ‘duka sengsara’ dan bukannya ‘yang biasa-biasa’.

 

Extraordinary.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA

 

 

 

Portfolio Tags