Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Iktisad - 30 November 2021

Bila syarikat tidak ambil peduli status patuh syariah

 

 

SENARAI saham patuh syariah yang baharu diwartakan berkuat kuasa Jumaat lalu telah mendapat kelulusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Bagaimanapun, saham-saham yang diapungkan di Bursa Malaysia ini akan disaring sekali lagi pada tahun hadapan dan diwartakan pada 27 Mei 2022.

 

Secara keseluruhan, terdapat 948 saham diapungkan di Bursa Malaysia setakat ini.

 

Kesemua saham ini terdiri daripada pelbagai sektor daripada produk dan perkhidmatan industri, teknologi, pembinaan hinggalah sektor kewangan.

 

Daripada jumlah ini, sebanyak 751 saham yang diapungkan adalah patuh syariah. Jumlah ini meliputi 79% daripada keseluruhan jumlah saham yang tersenarai di Bursa Malaysia.

 

Sumber : SC
Senarai baharu saham yang menyertai status status patuh syariah - Sumber laman web SC

 

 

Dalam senarai ini, terdapat 33 saham baharu diklasifikasi sebagai patuh syariah manakala 25 saham yang dahulu tersenarai sebagai saham patuh syariah, kini telah terkeluar daripada senarai tersebut.

 

Antara yang mengejutkan penulis ialah Konsortium Transnasional Bhd. (kod saham 4847) yang telah terkeluar daripada senarai saham patuh syariah.

 

Pada pendapat penulis, jika sekiranya pihak pengurusan Konsortium Transnasional ini mengambil peduli tentang keperluan mereka untuk mengikuti piawaian patuh syariah seperti ditetapkan SC, saya percaya saham mereka tidak terkeluar daripada senarai kali ini.

 

Sumber : SC
Senarai saham yang dahulunya patuh syariah tetapi terkeluar daripada senarai kali ini - Sumber laman web SC

 

 

Tetapi, turut membanggakan ialah penyertaan saham baharu dalam senarai ini, seperti ICT Zone Asia Bhd. (kod saham 03038) dan RCE Capital Bhd. (kod saham 9296).

 

Penulis amat teruja dengan kedua-dua syarikat ini kerana mereka menunjukkan komitmen dan sikap ambil peduli tentang piawaian SC dalam penetapan status kepatuhan syariah. 

 

Di samping itu, mereka juga mengambil initiatif dengan mendapatkan nasihat daripada penasihat syariah yang berdaftar dengan SC.

 

Antara penasihat syariah berdaftar dengan badan kawal selia itu termasuklah Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), IIUM Shariah Advisory Services, ISRA International Consulting, Amanie Advisors, BIMB Securities dan Masyref Advisory. 

 

Malah, ICT Zone dan RCE Capital juga pernah berurusan dengan penulis semasa berkhidmat sebagai Ketua Penasihat Syariah di IBFIM.

 

Penulis menggesa semua syarikat yang ingin mengapungkan saham mereka di Bursa Malaysia dan syarikat yang kini memegang status saham patuh syariah, supaya ambil peduli tentang kepentingan piawaian SC dalam proses saringan saham patuh syariah.

 

Ini amat penting bagi memastikan saham mereka terus bertahan sebagai saham patuh syariah dan tidak terkeluar daripada senarai apabila semakan seterusnya dijalankan Majlis Penasihat Syariah SC. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
utm

 

Portfolio Tags