Skip to main content

Bilangan pekerja meningkat 2.2%, pengangguran berkurangan 13% - Jabatan Perangkaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Jumlah penduduk negara yang sudah bekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2% kepada 15.57 juta pada suku pertama 2022 berbanding 15.24 juta pada suku sama pada tahun lalu dan bilangan penganggur terus berkurangan sebanyak 13% kepada 671,2000 berbanding 771,800 pada tahun lalu.

 

Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan berkata, kadar pengangguran jatuh 0.7 mata peratus kepada 4.1% berbanding 4.8% pada suku pertama tahun lalu dan pertumbuhan guna tenaga adalah lebih besar berbanding penurunan dalam pengangguran mendorong kepada peningkatan bilangan tenaga buruh sebanyak 1.5% kepada 16.25 juta orang pada suku tahun ini. 

 

Kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.4% kepada 69% berbanding 68.6% pada suku sama tahun lalu dan kadar itu adalah 0.1% lebih rendah berbanding yang direkodkan pada suku keempat 2019 iaitu suku tahun sebelum pandemik COVID-19.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata kerajaan telah mengurangkan langkah-langkah kawalan sejak awal 2022 selaras dengan peralihan semua negeri ke fasa akhir Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

Katanya, memandangkan keadaan hampir kembali normal, aktiviti sosioekonomi yang lebih rancak berterusan pada suku tahun tersebut. 

 

"Ekonomi berkembang 5% pada suku pertama 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.6%  pada suku sebelumnya. 

 

"Justeru, senario pasaran buruh yang menggalakkan berterusan pada suku tahun ini berikutan guna tenaga semakin meningkat manakala pengangguran berkurangan lanjutan daripada pengukuhan permintaan buruh oleh sektor ekonomi," katanya dalam laporan Sorotan Pasaran Buruh, Suku Pertama 2022, hari ini.

 

Laporan itu menghimpunkan statistik buruh suku tahunan dan mengetengahkan situasi terkini pasaran buruh Malaysia bagi menyediakan naratif yang lebih komprehensif.

 

Mohd. Uzir berkata, pembukaan semula aktiviti perniagaan dan sosial secara berterusan pada kapasiti penuh sepanjang suku pertama 2022, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu turun sebanyak 23.9% berbanding suku sama 2021 iaitu 336,300 orang.

 

Beliau berkata, jawatan dalam sektor ekonomi terus meningkat dengan merekodkan pertambahan tahun ke tahun sebanyak 1.8% kepada 8.57 juta jawatan berbanding 8.42 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Jawatan diisi yang merangkumi 97.8% daripada jumlah jawatan naik 1.7% kepada 8.39 juta berikutan penyertaan pasaran buruh yang memberangsangkan. 

 

"Sementara itu, kekosongan jawatan yang meliputi 2.2% daripada jumlah jawatan meningkat 3.6% kepada 184,300 kekosongan dan sejumlah 25,800 jawatan telah diwujudkan pada suku tahun ini. 

 

"Peningkatan sebanyak 48,600 dalam pewujudan jawatan berbanding setahun yang lalu juga menunjukkan permintaan buruh yang lebih kukuh pada suku tahun ini, selanjutnya akan membuka lebih peluang untuk pencarian pekerjaan," katanya. - DagangNews.com