Bilik gerakan TNB Pahang kekal beroperasi ekoran banjir belum surut | DagangNews Skip to main content

Bilik gerakan TNB Pahang kekal beroperasi ekoran banjir belum surut

Anggota kerja TNB Jengka, Pahang, melakukan kerja-kerja penyambungan kabel elektrik di Kampung Sungai Jempol, Maran yang rosak akibat banjir pada 5 Januari lalu. - Gambar TNB

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Bilik gerakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pahang masih lagi beroperasi berikutan situasi banjir di negeri itu yang belum surut sepenuhnya.

 

Operasi bilik gerakan TNB diteruskan untuk tujuan pemantauan selain bagi menyampaikan maklumat berkaitan bekalan elektrik kepada pengguna di Pahang.

 

Setakat jam 2 petang hari ini, kesemua 368 pencawang elektrik di Pahang sudah beroperasi sepenuhnya bagi menyalurkan bekalan kepada pengguna termasuk lima pencawang yang menerima bekalan daripada set janakuasa bergerak.

 

Sebanyak 27 pusat pemindahan sementara masih dibuka dan menerima bekalan elektrik daripada pencawang elektrik.

 

Pengguna di kawasan banjir dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.

 

Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik- termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air. Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan.

 

Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

 

Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air. - DagangNews.com