BIMB Investment rangkul Anugerah Pengurus Aset ESG Terbaik 2020 | DagangNews Skip to main content

BIMB Investment rangkul Anugerah Pengurus Aset ESG Terbaik 2020

Pengurus Aset ESG Terbaik

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) berjaya menerima anugerah Pengurus Aset ESG Terbaik dalam Anugerah Kewangan Islam Asset Triple A 2020 (Asset) untuk tahun kedua berturut-turut.

 

Selain anugerah berkenaan, BIMB Investment juga memenangi anugerah Dana Ekuiti ESG Terbaik (BIMB-ARABESQUE i Global Dividend Fund 1) dan Dana Sukuk ESG Terbaik (BIMB ESG Sukuk Fund).

 

Pengerusinya, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, pihaknya berbangga menerima tiga anugerah berkenaan hasil sokongan dan kepercayaan berterusan daripada para pelabur dan rakan perniagaan.

 

"Perjalanan kami dalam ESG dan pelaburan lestari bermula pada tahun 2015, dan kami akan terus menyumbang dalam membangunkan ekosistem pelaburan ESG yang mantap dan dinamik di Malaysia dan rantau ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 Mohamed Ridza Mohamed Abdulla
 Mohamed Ridza Mohamed Abdulla 

 

Anugerah Kewangan Islam Asset Triple A merupakan anugerah paling berprestij yang menjadikan salah satu bidang kewangan global yang berkembang dengan pesat. 

 

Pihak Asset memilih institusi kewangan Islam terbaik, serta tawaran yang mencerminkan kemajuan industri pada 2020.

 

BIMB Investment menguruskan lebih daripada RM1 bilion aset Shariah-ESG. 

 

Syarikat berkenaan merupakan pengurus aset Shariah-ESG terbesar di Malaysia dengan rangkaian dana Shariah-ESG yang luas untuk solusi Pelaburan Shariah-ESG yang komprehensif kepada pelabur runcit dan institusi di Malaysia dan Singapura. 

 

Pelabur dapat membina portfolio pelaburan dengan membuat pelaburan dalam pelbagai pilihan dana ESG yang merangkumi ekuiti Shariah-ESG global, ekuiti Shariah-ESG asia pasifik, ekuiti Shariah-ESG Malaysia dan Sukuk ESG global.

 

Najmuddin Mohd Lutfi
Najmuddin Mohd Lutfi

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi berkata, pihaknya dengan rendah hati menerima anugerah berkenaan dengan sokongan dan kepercayaan berterusan daripada para pelabur, rakan niaga, lembaga pengarah, penguatkuasa dan semua kakitangan BIMB Investment.

 

"Sejak 2015, kami telah menggabungkan pelaburan shariah kami dengan nilai kelestarian dan ESG dan kini menawarkan rangkaian solusi pelaburan Shariah-ESG paling menyeluruh di peringkat global dan domestik, merangkumi pelbagai kelas aset. 

 

"Kami memanfaatkan teknologi dengan menggabungkan data, pembelajaran mesin dan AI untuk menyediakan solusi kewangan yang telus dalam dunia yang kian berubah. 

 

"Kami juga mengintegrasikan kriteria ESG dalam strategi pelaburan berdasarkan peraturan untuk memastikan prestasi yang tinggi. Dengan rekod prestasi lebih daripada lima tahun dalam menawarkan ESG dan pelaburan lestari, kami komited untuk menjadikan ESG dan pelaburan lestari tersedia untuk semua dan menjadikan Malaysia sebagai pasaran Kewangan Islam Dunia," ujarnya. - DagangNews.com