Bintai Healthcare dilantik sebagai pengedar hemodialyzer di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Bintai Healthcare dilantik sebagai pengedar hemodialyzer di Malaysia

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai

 

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Bintai Healthcare Sdn. Bhd., anak syarikat Bintai Kinden Corp. Bhd., dilantik sebagai pengedar bukan eksklusif hemodialyzer yang dikeluarkan Scientillence Sdn. Bhd. di Malaysia.

 

Untuk itu, Bintai Healthcare hari ini memeterai perjanjian pengedaran dengan Scientillence untuk mengedarkan produk tersebut dalam sektor swasta dan komersial seperti pertubuhan bukan kerajaan. 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, pelantikan itu secara tidak langsung meningkatkan kedudukan Bintai Healthcare sebagai peneraju dalam pengedaran alatan perubatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan. 

 

Katanya, ia turut membantu memperluaskan rangkaian produk dan perkhidmatan Bintai Healthcare di Malaysia. 

 

"Dengan lebih banyak pelantikan sebagai pengedar pada masa akan datang, kumpulan melihat potensi Bintai Healthcare yang semakin berkembang.

 

"Malah, kami juga teruja dengan beberapa lagi peluang yang sedang kami usahakan dalam perancangan dan berharap dapat memberi keputusan yang baik dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Scientillence, dimiliki oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi kumpulan hospital Pantai Holdings Bhd., Tan Sri Lim Tong Yong, adalah pengeluar tunggal dialyzer (buah pinggang tiruan) di Malaysia dan juga Asia Tenggara.

 

Syarikat memiliki pengiktirafan Sistem Pengurusan Berkualiti bagi perniagaan pengeluaran dan pelbagai pensijilan untuk produknya. Ia juga dalam proses pendaftaran bagi Conformite European (CE) dan pengeluar dialyzer pertama di dunia yang mempunyai pensijilan halal.

 

Ketika ini, produk Scientillence dieksport terutamanya ke China, India, Pakistan, Bangladesh, Arab Saudi, Turki, Lebanon dan kebanyakan negara di Asia Tenggara.

 

Di bawah perjanjian tersebut, Scientillence akan menyediakan semua sokongan teknikal yang diperlukan dan perkhidmatan berkaitan pemasaran dan jualan produk.

 

Perjanjian bagi tempoh setahun itu tertakluk kepada terma-terma di dalamnya dan akan dilanjutkan sehingga 5 tahun melainkan notis penamatan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari oleh salah satu pihak sebelum ia ditamatkan. 

 

Bintai Healthcare berdaftar dengan Pihak Berkuasa Alatan Perubatan sebagai wakil, pengedar dan pengimport alatan perubatan yang sah di Malaysia. 

 

Perjanjian itu dijangka tidak memberi kesan kepada terbitan dan modal saham berbayar Bintai Kinden tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan. - DagangNews.com