Bisnes Saya Beroperasi Secara Digital Sejak 2011. Ini Apa Yang Saya Belajar | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 1 December 2020

Bisnes Saya Beroperasi Secara Digital Sejak 2011. Ini Apa Yang Saya Belajar

 

 

2020, tahun yang paling sukar yang pernah saya lihat. Saya ingat kejatuhan ekonomi pada tahun 1997 dahulu yang paling teruk, tetapi nampaknya 2020 lebih gila. Rata-rata rakyat Malaysia dari golongan sederhana ke bawah sedang merasa keperitan hidup tanpa mempunyai pendapatan bulanan yang normal.

 

Ada yang masih menerima pendapatan seperti biasa, ada yang kurang dan ada pula yang kehilangan pendapatan seratus peratus. Menurut Jabatan Statistik Malaysia, kadar pengangguran di negara ini meningkat sebanyak 0.6 - 0.7% dari bulan-ke-bulan setakat bulan Julai 2020 yang lalu. Jumlah keseluruhan pula kini mencecah lebih daripada 745,100 orang yang tidak bekerja.

 

Itu cerita di sebelah sektor pekerjaan. Cerita di sebelah sektor bisnes pula keadaannya hampir sama. Secara purata, kehidupan para usahawan di negara ini tidak kira kecil mahupun besar, kini dipengaruhi dengan gaya hidup baharu yang hadir dengan mendadak.

 

Transformasi digital berlangsung dengan begitu pantas sehingga ada yang terpaksa gulung tikar, ada yang terpaksa menukar model bisnes yang dilakukan 360 darjah semata-mata untuk disesuaikan dengan keadaan semasa dan ada pula yang tidak mempunyai apa-apa kesan kerana mereka telah bersedia. Apa keadaan ini wujud, peluang pekerjaan pada hari ini tidak mampu menampung jumlah yang mencari pekerjaan.

 

Karier profesional terakhir saya ialah di Siemens, sebuah syarikat multinasional gergasi Jerman. Saya berhenti untuk menubuhkan NSE. Matlamat saya hanya satu, iaitu ingin membuktikan teori saya pada waktu itu yang bisnes pada zaman ini sebenarnya tidak perlu lagi dijalankan secara fizikal.

 

simes

 

Dengan kata lain, kita tidak perlu bergantung kepada mesyuarat, perbincangan dan perjumpaan secara fizikal untuk menjayakan sesuatu projek. Dan ia mampu berjaya. Betul, bukan semua bisnes mampu dilakukan sebegini tetapi bisnes yang saya ingin lakukan ini perlu mempunyai kriteria-kriteria ini. Dengan kata lain, saya ingin menjalankan bisnes yang benar-benar digital. Dari proses pemasaran kepada pembelian, semuanya digital. Tidak perlu berjumpa secara fizikal.

 

Kini NSE telah berusia hampir 10 tahun. Ia merupakan sebuah syarikat media sosial kecil, diwujudkan untuk membantu para pelanggan tentang media sosial melalui penyumberan luar atau outsourcing. Ia masih bertahan sehingga hari ini.

 

Selama beberapa tahun kebelakangan ini, terlalu banyak perubahan demi perubahan ketara yang berlaku di seluruh dunia, terutamanya berkaitan tentang teknologi, internet, gaya hidup, pembuatan keputusan dan cara pembelian dilakukan, tingkahlaku dan sebagainya.

 

Ini apa yang saya belajar dari pengalaman bisnes saya dan juga dari semua perubahan yang wujud selama ini, yang membawa kita semua kepada hari ini.

 

aaa

 

Bagaimana saya boleh membantu pengguna menyelesaikan masalah mereka melalui perkhidmatan saya? 

 

Saya kini faham tentang apakah yang membuatkan satu-satu bisnes itu kekal relevan bertahun-tahun lamanya. Faktor itu ialah kekuatan penyelesaian kepada sesuatu masalah yang sebenar. Bisnes saya perlu membantu para pengguna yang saya sasarkan menyelesaikan masalah mereka dengan baik melalui perkhidmatan yang saya ada.

 

Dan pada masa yang sama, mereka perlu melihat perkhidmatan saya ini juga sebagai satu keperluan yang penting. Sekiranya perkhidmatan saya dilihat hanya sekadar kalau tidak ada pun tidak apa, asas bisnes saya perlu diperbetulkan segera sebelum terlambat. Sebelum nasi menjadi bubur.

 

Mengapa saya? Terdapat beratus-ratus lagi syarikat media sosial di negara ini yang beroperasi secara penyumberan luar. Malah ada yang jauh lebih besar, lebih terkenal, lebih mewah, mempunyai pelanggan-pelanggan yang lebih ramai dan mempunyai beratus-ratus pekerja.

 

Saya perlu menyediakan jawapan kepada soalan yang bakal dikemukakan para pelanggan ini yang biasanya akan ditanya secara diam-diam di dalam kepala mereka. Mengapa saya perlu memilih anda dan bukan syarikat-syarikat lain? Jika jawapan saya kepada soalan ini tidak kuat, bisnes saya mungkin tidak akan mampu untuk pergi dengan lebih jauh lagi. Persaingan di luar sana memang tidak dinafikan terlalu sengit.

 

Dua jenis pendapatan. Rata-rata bisnes yang bagus mempunyai dua jenis pendapatan iaitu pendapatan yang perlu diperolehi secara kerap dan berterusan, dan juga pendapatan yang lebih berjangka-panjang. Pendapatan jenis yang pertama tadi biasanya mempunyai amaun yang tidak besar, tetapi kerap.

 

Biasanya ia diperoleh setiap hari, setiap minggu atau bulan, yang digunakan untuk memastikan syarikat mampu membayar kos-kos operasi dan perbelanjaan bulanan. Manakala pendapatan jenis kedua akan mempunyai amaun yang jauh lebih besar tetapi tidak kerap. Ia biasanya diperolehi melalui projek-projek strategik. Pendapatan ini biasanya dianggap sebagai bonus yang dijana untuk menampung perbelanjaan yang lebih besar dan juga strategik.

 

Google. Apabila seseorang itu mencari sesuatu maklumat di enjin pencarian seperti Google, ini bermakna mereka memerlukan maklumat itu untuk membuat sesuatu keputusan. Biasanya keputusan itu akan mempunyai kaitan dengan pembelian yang bakal berlaku. Berdasarkan logik ini, saya perlu dijumpai di Google sekiranya sesiapa sahaja ingin mencari apa jua maklumat tentang pemasaran digital, pemasaran media sosial ataupun kedua-duanya.

 

google

 

Sekiranya mereka tidak menjumpai saya di antara mukasurat pertama sehingga ketiga atau keempat di Google, habislah. Saya tidak akan mampu untuk menarik perhatian, membawa mereka ke laman web saya dan mempengaruhi mereka untuk membeli dan menggunakan perkhidmatan media sosial yang saya sediakan.

 

Media sosial. Begitu juga di media sosial. Memandangkan sasaran pelanggan saya terdiri dari para profesional, saya perlu bergerak aktif di media sosial. LinkedIn and Facebook merupakan pilihan utama saya memandangkan mereka ramai berada di sana. Yang penting, saya perlu mengumpul seberapa ramai pengikut yang boleh, yang benar-benar aktif berinteraksi dan bersosial secara dalam talian di sana.

 

Produk permulaan. Entry-level product atau Produk Permulaan adalah sejenis produk yang perlu wujud bagi memudahkan proses pembelian. Ia perlu murah dan ringkas, agar para pengguna mudah membuat keputusan untuk membelinya. Proses pembelian ini juga perlu cepat tanpa mereka perlu berfikir panjang.

 

Ada juga sesetengah jenama menyediakan produk atau perkhidmatan permulaan ini dengan percuma. Ini kenali sebagai freemium. Contohnya, Netflix. Mereka menjemput para pengguna untuk mendaftar dan menggunakan perkhidmatan mereka dengan percuma selama sebulan. Sebaik sahaja tempoh sebulan itu tamat, para pengguna diberikan pilihan sama ada untuk meneruskan pembayaran ataupun tidak.

 

Transformasi digital tidak perlu dilakukan secara kompleks. Ia boleh dilakukan dengan mudah, menggunakan perisian dan perkakasan yang telah wujud yang tersedia di luar sana. Yang percuma pun ada. Ia boleh juga dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut kesediaan anda.

 

Apa yang penting ialah bagaimana model bisnes anda perlu dibina dengan kuat dan menggunakan digital bagi menguatkan lagi pengaruh jenama anda di mata pengguna. Jadi, apa yang saya tulis ini ialah perkara-perkara saya belajar sepanjang 10 tahun dalam bisnes secara sepenuh masa di samping pemerhatian dan pembacaan yang saya lakukan. Ia juga boleh digunakan untuk persiapan menghadapi tahun 2021 nanti.       - DagangNews.com

 

 

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah seorang strategis pemasaran digital yang aktif menulis di pelbagai platform media sosial dan kini adalah kolumnis DagangNews menerusi ruangan IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KOLEKSI IDEA DIGITAL:

Orang Membeli Tidak Hanya Berdasarkan Iklan

4 Pengajaran Tentang Pemasaran Digital Dari Kemenangan Joe Biden

Mengapa Strategi Pemasaran Mahal?

E-pemasaran : Minta 20 rakan baik di media sosial tolong tularkan

Guna Platform Ini Kalau Rasa Media Sosial Semakin Mahal

Jangan Percaya. Ini Semua Mitos Penjenamaan Sahaja

SELAMATKAN TAHUN 2020 ANDA!

Biarkan mereka, yang penting laman web anda ada blog

Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini

Saya Lakukan Ini Untuk Hidupkan Kembali Laman Blog Yang Lesu

Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google

 

 

 

Portfolio Tags