BN Sabah diberi kuasa autonomi, lantik Bung Moktar ketuai jentera kempen | DagangNews Skip to main content

BN Sabah diberi kuasa autonomi, lantik Bung Moktar ketuai jentera kempen

Bung Moktar Radin

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Susulan pemberian kuasa autonomi kepada BN Sabah, Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai ketua jentera kempen untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri tersebut.

Zahid berkata, selain pelantikan tersebut, tiga keputusan lain turut diatur bagi merialisasikan kuasa autonomi yang diberikan oleh Dewan Tertinggi BN dalam satu sidang yang diadakan baru-baru ini.

"Saya selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO menyerahkan kepada seluruh jajaran kepimpinan BN Sabah dan UMNO Sabah untuk menggunakan seluruh kebijaksanaan dan strategi untuk menterjemahkan kuasa autonomi yang telah diberikan.

"Keputusan kedua ialah mengadakan rundingan untuk pembahagian kerusi bersama-sama dengan parti politik di Sabah," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan berlangsung pada 26 September ini.

Bagi keputusan ketiga, Zahid membuat keputusan untuk penentuan calon-calon bagi semua kerusi di 73 Dewan Undangan Negeri Sabah setelah rundingan dimuktamadkan.

Selain itu, Zahid turut memutuskan agar Ketua Menteri dipilih dalam kalangan ADUN apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mencukupi bagi pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu.

"Demi menghormati kuasa autonomi yang diberikan, saya dengan ini memberikan kuasa bagi pelaksanaan kemepat-empat keputusan berkenaan kepada BN Sabah dan UMNO Sabah.

"BN Sabah dan UMNO Sabah diharap agar menggunakan sepenuh kebijaksanaan, rundingan dan kompromi bagi merialisasikannya," jelasnya lagi. - DagangNews.com