BNM : Ekonomi suku pertama 2022 berkembang 5%, jangka prospek 2022 lebih baik | DagangNews Skip to main content

BNM : Ekonomi suku pertama 2022 berkembang 5%, jangka prospek 2022 lebih baik

KUALA LUMPUR 13 Mei - Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif pada suku pertama 2022 dengan berkembang 5%, menurut Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan. 

 

Keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1% berbanding 4.3% pada suku keempat 2021, di samping sokongan dasar yang berterusan. 

 

"Permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan. 

 

"Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan masing-masing berkembang sebanyak 6.5% dan 6.6%. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 3.9%," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

barang

 

 

Bank pusat berkata, inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2% pada suku pertama berbanding 3.2% pada suku keempat 2021. 

 

Ia mencerminkan sumbangan yang lebih kecil daripada kesan asas yang luput daripada harga bahan api runcit yang lebih rendah tahun lalu, dan ketiadaan kesan asas daripada rebat tarif elektrik yang dilaksanakan pada 2020. 

 

Inflasi teras meningkat kepada 1.7% pada suku itu disebabkan pelarasan harga berikutan kos yang lebih tinggi serta keadaan permintaan yang bertambah baik, dengan kenaikan harga yang lebih ketara khususnya bagi item makanan disebabkan oleh faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global yang lebih tinggi.

 

ringgit

 

 

Dari segi nilai ringgit, mata wang itu menurun sebanyak 0.7% berbanding dengan dolar AS pada suku pertama 2022 (keseluruhan tahun setakat 11 Mei 2022: -4.7%). 

 

Jelas BNM, secara umumnya, penurunan ini adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau disebabkan pengukuhan dolar AS secara keseluruhan yang didorong oleh kadar faedah yang lebih tinggi di AS, sentimen penghindaran risiko global berikutan konflik di Ukraine dan jangkaan pertumbuhan yang sederhana di China. 

 

"Harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan Malaysia juga telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit daripada kesemua faktor luaran ini," jelasnya. 

 

Pada masa hadapan, katanya, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung meskipun pasaran kewangan domestik bergantung pada beberapa tempoh volatiliti yang tinggi. 

 

"Kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan membolehkan ekonomi berhadapan dengan kejutan luaran," tambahnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Menurut bank pusat, pembiayaan bersih kepada sektor swasta berkembang 4.5% dalam keadaan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih rendah. 

 

Pertumbuhan pinjaman terkumpul mampan pada 4.4% dengan pertumbuhan pinjaman perniagaan menjadi sederhana kepada 4.3%, mencerminkan pertumbuhan pinjaman modal kerja terkumpul yang lebih rendah dalam keadaan pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang terus tinggi. 

 

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan pengeluaran pinjaman modal kerja kekal kukuh pada suku pertama  sejajar dengan pemulihan kegiatan ekonomi. 

 

Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat merentas kebanyakan tujuan pada 4.8%  dengan pertumbuhan yang mantap dalam pengeluaran pinjaman meningkat kepada 12.7% daripada 9.5% pada suku sebelumnya. 

 

"Ini mencerminkan permintaan yang berterusan untuk pinjaman dalam kalangan isi rumah, terutamanya bagi pembelian rumah dan kereta. 

 

"Daya tahan isi rumah terus disokong oleh keupayaan membayar hutang yang teguh dan penampan kewangan yang utuh pada peringkat agregat, dengan pemberian pinjaman disokong oleh standard pengunderaitan yang berhemat dan penilaian kemampuan peminjam mengambil pinjaman oleh bank-bank," katanya. 

 

 

Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus
Nor Shamsiah Mohd. Yunus

 

 

Mengulas mengenai prospek 2022, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah berkata, ekonomi dalam negeri dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan antara 5.3% hingga 6.3% seperti yang diumumkan pada Mac 2022. 

 

Katanya, unjuran ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh, permintaan luaran yang terus berkembang dan pasaran pekerja yang terus bertambah baik. 

 

"Pertumbuhan juga akan menerima manfaat daripada pelonggaran sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelaksanaan projek pelaburan.

 

"Bagaimanapun, risiko terhadap momentum pertumbuhan Malaysia masih wujud antaranya, pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, perkembangan buruk berhubung dengan COVID-19 dan ketidaktentuan pasaran kewangan yang meningkat- DagangNews.com