BNM hasilkan syiling peringatan APEC 2020 | DagangNews Skip to main content

BNM hasilkan syiling peringatan APEC 2020

Syiling peringatan APEC 2020

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Penganjuran Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 bertambah unik dengan penghasilan dua syiling peringatan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

BNM berkata, syiling berkenaan dilancarkan sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 20 November 2020, semalam.

 

"Duit syiling peringatan ini ditempa dengan dua teknik permukaan yang berbeza dengan menggunakan teknologi laser canggih dan digital frosting untuk mencipta kesan pelangi. 

 

"Reka bentuk ini merupakan pengeluaran yang pertama seumpama itu," jelas BNM dalam satu kenyataan di laman web rasminya.


 

Bahagian hadapan

  • Reka bentuk artistik 21 imej manusia (human figures) pada bahagian tengah duit syiling melambangkan kerjasama 21 negara APEC untuk mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan di rantau berkenaan. 
  • Perkataan ASIA-PACIFIC ECONOMIC COOPERATION 2020 dipaparkan pada bahagian atas duit syiling.
  • Manakala tema APEC 2020 iaitu “OPTIMISING HUMAN POTENTIAL TOWARDS A FUTURE OF SHARED PROSPERITY” dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling tersebut.

 

 

Bahagian belakang

  • Elemen hiasan corak songket bunga pecah lapan yang menjadi latar belakang bahagian ini melambangkan kekayaan budaya Malaysia. 
  • Nilai muka duit syiling dipaparkan pada bahagian tengah, manakala logo rasmi APEC 2020 terletak di bahagian bawah.

 

Tambah BNM, kedua-dua duit syiling peringatan itu yang akan dikeluarkan dalam dua spesifikasi berbeza iaitu Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf) dan Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U).

 

syiling peringatan APEC 2020

 

Bagi Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf), syiling perak berwarna itu diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram. 

 

Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM253 sekeping dan telah ditempa sebanyak 1,000 keping.

 

Sementara itu, Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U) pula merupakan syiling kemasan tanpa kilat yang diperbuat terutamanya menggunakan tembaga dan berat setiap keping ialah 8.5 gram.

 

Nilai muka duit syiling itu ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping, sebanyak 15,000 keping telah ditempa.

 

Dalam pada itu, BNM memberitahu, syiling peringatan set dua dalam satu turut disediakan untuk jualan.

 

Set berkenaan mengandungi satu duit syiling perak pruf yang berwarna dan satu duit syiling emas Nordic pruf yang dijual pada harga RM308.

Bagaimanapun, set berkenaan hanya terdapat sebanyak 750 set.

 

"Bagi memberi peluang yang sama rata kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap pembeli dihadkan membeli hanya satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna (pruf), dan maksimum sehingga lima duit syiling emas Nordic (B.U). 

 

"Sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, cabutan akan dibuat bagi menentukan tempahan yang berjaya. 

 

"Untuk maklumat lanjut mengenai tempahan, pembayaran dan pengambilan, satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat," jelas BNM lagi. - DagangNews.com