Skip to main content

Bonnie: Tubuhnya kecil tetapi berjiwa besar! (SURAT PEMBACA)

Saudara pengarang,

 

Malaysia sangat berbangga dengan kejayaanmu, Bonnie. Itulah ungkapan terbaik yang mampu dilafazkan secara spontan oleh sekalian warga Malaysia apabila menerima satu lagi ‘hadiah terindah’ menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 esok.

 

Ini kerana, ‘kekecewaan’ seluruh rakyat Malaysia yang kempunan untuk dihadiahkan dengan pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2020 lalu telah ditebus dengan penuh bergaya oleh Bonnie Bunyau Gustin di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

 

Lebih menarik lagi, satu momen negara yang teristimewa tersebut akan kekal terpahat dalam lipatan sirah negara di mana beliau telah mencipta satu rekod baharu di temasya sukan yang cukup berprestij tersebut dengan berjaya dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) dan berjaya melakukan angkatan seberat 228kg. Sekalung tahniah daripada seluruh warga Malaysia atas pencapaian yang cukup ‘menakjubkan’ itu.

 

Menyoroti secara ringkas sejarah liku perjuangan dan pencapaian hebat insan bertuah ini, adalah tidak keterlaluan untuk penulis zahirkan akan rasa kekaguman terhadap pencapaian atlet paralimpik berumur 22 tahun ini yang telah mengukir nama di persada sukan antarabangsa.

 

Apa tidaknya, dengan berbekalkan ketinggian 132 cm ini, yang pastinya anak jati kelahiran negeri Burung Kenyalang ini benar-benar menghayati semangat ‘Agi idup agi ngelaban’ (selagi hidup, selagi itulah berjuang) di dalam dirinya.

 

Ini terbukti apabila beliau telah berjaya mendaki setapak demi setapak gunung kejayaan hingga sampai ke puncaknya dengan mengungguli pelbagai kejayaan demi kejayaan dalam arena sukan ini iaitu bermula dengan mendapat tempat keempat di ASEAN Para Games (2017) dan Sukan Komanwel (2018) bagi kategori 65 kg, meraih pingat perak di Sukan Para Asia 2018 bagi kategori 65 kg serta berjaya menunjukkan kehebatannya dalam Nursultan 2019 World Championship dengan merangkul pingat emas.

 

Lebih mengujakan lagi, Bonnie juga telah berjaya memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230kg yang sebelum ini dipegang oleh Roohallah Rostami iaitu atlet dari Iran dengan angkatan 229kg semasa di Para Asia Jakarta 2018.

 

Sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian yang cemerlang itu dalam mengharumkan nama negara, sudah tentunya pelbagai ganjaran yang menarik bakal menanti beliau termasuklah hadiah wang tunai yang begitu lumayan, wang pencen bulanan serta ganjaran lain yang akan diterima daripada pihak penaja.

 

Dari segi sisi yang lain pula, penulis ingat mengajak sekalian warga Malaysia supaya mengambil ibrah dan taulan yang cukup bermanfaat untuk direnung dan seterusnya dihayati bersama; di sebalik sumbangan dan pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan oleh Bonnie.

 

Ini kerana dalam usaha untuk mencipta sesuatu kejayaan, faktor kekurangan diri; samada secara fizikal contohnya tidak perlu dijadikan sebagai suatu halangan atau alasan. Ini kerana; di setiap kekurangan pastinya ada kelebihan yang perlu dicari dan digilap sebaik mungkin.

 

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap individu untuk memastikan bahawa setiap ‘kekurangan’ kurniaan Tuhan itu pasti memiliki keistimewaan atau hikmah yang tersendiri menerusi semangat juang yang tidak pernah mengenal erti putus asa sama sekali sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Bonnie itu; bak kata pepatah; “yang bulat takkan datang menggolek, yang pipih takkan datang melayang”.

 

Syabas buat oleh Bonnie Bunyau Gustin atas titipan kejayaan tersebut. Sesungguhnya, inilah bingkisan terindah buat seluruh rakyat Malaysia dalam kemeriahan menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

 

Kami amat berbangga denganmu!

 

 

Mohd Ab Malek Shah
Melaka