Boss Top Glove dapat dividen RM490 juta | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 17 February 2021

Boss Top Glove dapat dividen RM490 juta

 

 

 

LENGKUNGAN Pandemik COVID-19 masih belum dapat diratakan lagi buat masa ini. Namun begitu, pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), buat masa ini masyarakat menarik sedikit nafas lega berikutan jumlah masyarakat yang dijangkiti COVID-19 semakin menurun.

 

Jumlah yang menurun ini berikutan tindakan kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Namun sehingga bila pandemik ini akan berakhir, tiada jawapan pasti.

 

Bermula Mac 2020 hingga kini, keadaan ekonomi dan pasaran saham di Malaysia turut terjejas. Namun istilah “dalam setiap masalah pasti ada peluang” merujuk kepada wujudnya peluang-peluang yang baik, juga ada dalam keadaan masalah wabak ini.

 

Bagi mematuhi SOP yang ditetapkan dan keperluan sesama akibat COVID-19 ini, permintaan terhadap sarung tangan dan penutup muka mendapat permintaan yang sangat tinggi. Hal ini memberi kesan yang sangat positif kepada syarikat yang perniagaannya berasaskan getah. Top Glove Coporation Berhad antara syarikat yang “gembira”  semasa wabak ini melanda.
 

 

volatiliti

 


Top Glove adalah pengeluar sarung tangan terbesar di dunia. Syarikat ini memiliki dan mengendalikan 46 kilang pengeluaran dan pemasaran di Malaysia, Thailand, Vietnam dan China serta Amerika Syarikat, Jerman dan Brazil.

 

Syarikat ini ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1991 oleh Tan Sri Dr Lim Wee-Chai, sebagai usaha perniagaan sederhana 1 kilang, 1 pusat pengeluaran dan 100 kakitangan. Kini, Top Glove menguasai 26% daripada pasaran dunia bagi sarung tangan getah.

 

Top Glove bercita-cita untuk menjadi syarikat Fortune Global 500 menjelang tahun 2040. Ia juga ingin mengembangkan perniagaan secara agresif dan mencari peluang penggabungan dan Pengambilalihan atau M&A  dalam industri yang sama dan yang berkaitan. 

 

Top Glove tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 2001, dan Bursa Singapura pada tahun 2016. Setakat Mac 2020, Top Glove mempunyai dana pemegang saham sebanyak RM2.6 bilion dan perolehan tahunan kira-kira RM2.4 bilion. Modal berbayar Top Glove adalah sebanyak RM1,675,704,222 pada Disember 2020 sementara permodalan pasaran adalah RM57.2 bilion pada 30 November 2020.

 

Top Glove juga merupakan salah satu saham komponen Indeks Piawaian Antarabangsa MSCI, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI, Indeks FBM 100, Indeks FBM Emas, Indeks Hijrah Syariah FBM, Indeks Emas Syariah FBM, Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, serta Indeks Kemampaian Dow Jones (DJSI) untuk Pasaran Membangun.

 

Syarikat itu bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan dan kementerian agar kekal mengikuti perkembangan terkini dalam teknologi penyelidikan getah.
 

 

volatiliti

 


Top Glove melakar sejarah apabila merekodkan keuntungan bersih tertinggi 20 kali ganda  berakhir 30 November 2020 kepada RM 2.38 billion daripada RM111.43 juta pada suku yang sama sebelum ini.

 

Perolehan turut melonjak 293%s untuk mencecah prestasi tertinggi sebanyak RM4.76 bilion daripada RM1.21 bilion bagi tempoh yang sama, didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap sarung tangan dalam pasaran semasa.

 

Dalam perkembangan semasa juga, Top Glove mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 16.5 sen sesaham, boleh bayar pada 11 Januari 2021 untuk memberi ganjaran kepada kira-kira 100,000 pemegang saham awam.

 

Top Glove merancang pelan jangka masa panjang bagi tempoh 5 tahun, dengan peruntukkan sebanyak RM10 bilion untuk perbelanjaan modal dari tahun kewangan 2021 hingga tahun kewangan 2025  yang akan melonjakkan kapasitinya dengan 100 bilion keping sarung tangan lagi.

 

Tan Sri Dr Lim Wee Chai yang merupakan pengasas Top Glove, menerima pulangan luar biasa dengan dividen sebanyak 16.5 sen sesaham. Beliau merupakan salah seorang pemegang saham terbesar Top Glove hampir 35% saham syarikat ini ataupun sekitar 2.8 bilion unit saham.  

 

Beliau akan menerima RM490 juta dividen atas prestasi cemerlang Top Glove. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga bakal menerima pulangan daripada pengumuman dividen oleh Top Glove.



 

Tan Sri Dr Lim Wee Chai
Lim Wee Chai

 


KWSP yang mempunyai 5.6% saham Top Glove dijangka menerima sekitar RM73.5 juta pulangan dividen dari pelaburan ini. Berdasarkan prestasi yang kukuh ini, salam Top Glove  juga menunjukkan kenaikan yang tinggi bermula Mac 2020.

volatiliti

Bagi tahun 2021 ini, Top Glove yakin dengan prospek sarung tangan getah dan yakin permintaan terus tinggi walaupun dunia sudah mula menggunakan vaksin secara beransur-ansur.

 

Sarung tangan masih diperlukan dalam proses menguji vaksin, menjalankan suntikan vaksin dan bagi tujuan kesihatan.  Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee kim Meow yakin permintaan sarung tangan getah tinggi dan menjangkakan permintaan sarung tangan akan meningkat sekurang-kurangnya 10%.

 

Walaupun terdapat isu yang menjejaskan nama baik Top Glove apabila Kluster Teratai menyumbangkan jumlah pesakit COVID-19 yang tinggi namun harga saham Top Glove  kembali stabil. Selagi permintaan terhadap sarung getah masih tinggi, Top Glove boleh dilihat sebagai peluang untuk meraih peluang keuntungan bagi pelabur-pelabur. - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KOLEKSI VOLATILITI

Pelaburan Derivatif Juga Satu Pilihan

Masih Ada Saham Yang Menguntungkan Dalam Ketidakstabilan Ekonomi

Kestabilan Monetari Bagi mengukuhkan Ringgit

PERMAI: suntikan fiskal bantu rakyat, rancakkan ekonomi

5 Strategi utama pulihkan negara pada 2021

Masihkah relevan January Effect ke atas pasaran saham

Menyusun semula ekuiti bumiputera dalam pelaburan institusi

Selamat tinggal kemeruapan dan ketidakpastian pasaran saham 2020

 

 

 

 

 

Portfolio Tags