Boustead Plantations lantik 4 lembaga pengarah baharu | DagangNews Skip to main content

Boustead Plantations lantik 4 lembaga pengarah baharu

 

KUALA LUMPUR 12 Mac - Anak syarikat Boustead Holdings Berhad iaitu Boustead Plantations Berhad telah melantik empat lembaga pengarah baharu. 

 

Ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Holdings yang baru dilantik beberapa hari lalu, Izaddeen Daud. 

 

Tiga lembaga pengarah lagi menyaksikan Fahmy Ismail dan Ahmad Shahredzuan Mohd. Shariff sebagai pengarah bukan eksekutif dan bukan bebas, sementara Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid sebagai pengarah bukan eksekutif bebas.

 

Boustead Plantations dalam sebuah kenyataan memberitahu, kesemua pengarah baharu itu akan membantu membimbing syarikat untuk mentransformasikan semula kumpulan daripada syarikat minyak sawit konvensional kepada perniagaan perladangan yang lebih mantap, berdigital dan mampan.

 

Menerusi kenyataan sama, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata, pelantikan anggota pengurusan kanan Boustead Holdings ke dalam lembaga pengarah Boustead Plantations merupakan sebahagian agendanya dalam mencipta semula Boustead. 

 

“Kami di Boustead Holdings percaya masa depan Boustead Plantations terletak pada keupayaannya untuk memanfaatkan dan melaksanakan penyelesaian teknologi dan digital ke dalam perniagaan yang biasanya tradisional ini.

 

"Dalam tempoh beberapa bulan mendatang, kami berharap dapat berkongsi contoh di mana Boustead Plantations memanfaatkan teknologi dan penyelesaian digital untuk meningkatkan prestasi perniagaannya,” kata beliau lagi.

 

Berdasarkan pengumuman di laman web Boustead Plantations, Izaddeen, 52, mempunyai pengalaman luas sepanjang 30 tahun kariernya dalam sektor pelaburan dan perbankan. 

 

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Perakaunan dan Perundangan dari De Montfort University, United Kingdom.

 

Fahmy, 44, pula memegang pelbagai jawatan kepimpinan sepanjang 22 tahun kerjayanya termasuk sebagai ketua pegawai eksekutif di Boustead Plantations dan Boustead REIT Managers Sdn. Bhd.

 

Beliau merupakan luluskan Sarjana Muda Perdagangan dalam Perakaunan dan Kewangan dari University of Sydney.

 

Dalam pada itu, Ahmad Shahredzuan, 38, pernah memegang pelbagai jawatan di Permodalan Nasional Berhad dan McKinsey & Company sepanjang tempoh 15 tahun lalu.

 

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Ekonomi dari University of Warwick, United Kingdom.

 

Mustaffar Kamal, 67, pula membawa bersama-samanya pelbagai pengalaman dalam sektor perladangan melebihi 30 tahun. 

 

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Ekonomi dari Universiti Malaya. - DagangNews.com