Skip to main content

BPN 2.0 dipercepat, bayaran bermula 21 Januari

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Pembayaran Fasa Kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) melibatkan 11.06 juta penerima akan dipercepatkan bermula 21 Januari 2021.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu dibuat susulan pengumuman pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP, PKP-Besyarat dan PKP-Pemulihan) yang dibuat Perdana Menteri pada 11 Januari 2021.

 

"Kementerian Kewangan ingin memaklumkan bahawa bayaran Fasa Kedua (BPN 2.0) kepada 11.06 penerima merangkumi 10.6 juta penerima BPN sedia ada, serta sekitar 460,000 penerima baharu akan dipercepatkan.

 

"Penerima baharu tersebut telah diluluskan semasa tempoh permohonan/rayuan dibuka pada 15 Oktober hingga 15 November 2020 lalu," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semakan kelulusan boleh dibuat bermula 15 Januari 2021 di portal rasmi BPN iaitu https://bpn.hasil.gov.my.

 

Bayaran BPN 2.0 akan disalurkan seperti berikut;

 

.

 

Tambah Tengku Zafrul, BPN 2.0 adalah sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September 2020 lalu.

 

Inisiatif BPN 2.0 tersebut disalurkan melalui dua fasa pembayaran iaitu pada bulan Oktober 2020 dan Januari 2021.

 

 

Bayaran fasa kedua BPN 2.0 akan disalurkan dengan pecahan seperti berikut;

 

.

 

"Secara keseluruhannya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi 11.06 juta penerima terdiri daripada 5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah dengan jumlah bayaran serta peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.18 bilion," ujar beliau lagi. - DagangNews.com