FGV sasar bekal 90,000 liter susu segar kepada Gigi Coffee menjelang Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

FGV sasar bekal 90,000 liter susu segar kepada Gigi Coffee menjelang Disember 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - FGV Dairy Farm Sdn. Bhd. menerusi jenama susu Bright Cow berhasrat mengukuhkan jenamanya dengan merancang membekalkan 90,000 liter susu sebulan kepada rangkaian Gigi Coffee menjelang Disember 2022.

 

Rangkaian kedai kopi rangkaian kopi itu mempunyai lebih daripada 36 cawangan di seluruh negara mula menggunakan susu segar Bright Cow sejak Jun 2022.

 

Buat masa sekarang, mereka membekalkan sekitar 40,000 liter susu sebulan kepada rangkaian kedai kopi itu.

 

FGV Dairy Farm memiliki ladang ternak di Linggi, Negeri Sembilan yang menempatkan lebih 200 lembu dan mampu memproses 1 juta liter susu segar setiap tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bright Cow, Datuk Iszhar Ibrahim berkata, rancangan itu sejajar dengan rancangan strategik syarikat untuk mengembangkan perniagaan hotel, restoran dan kafe (HORECA) pada skala yang lebih besar,

 

"Kami tidak sabar untuk perkongsian yang mampan dan sinergi dengan Gigi Coffee pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

kopi

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gigi Coffee, Marcus Low berkata, pihaknya menyasarkan untuk menggandakan jumlah cawangan mereka pada penghujung 2022.

 

"Kami berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kehadiran kami di setiap negeri bagi menyediakan kopi terbaik kepada pelanggan kami.

 

"Kerjasama Gigi Coffee dengan Bright Cow mencerminkan komitmen kami untuk mendapatkan susu segar berkualiti daripada ladang tempatan yang menggunakan amalan perladangan yang bertanggungjawab dan untuk memastikan bekalan susu yang konsisten untuk menyokong perniagaan kami yang semakin berkembang," katanya.

 

Selain Gigi Coffee, Bright Cow juga membekalkan susu segar dan produk tenusunya kepada jenama lain seperti Inside Scoop, Yees Yogurt, Cafe Mesra, Yogurt Ballet, Yogurt King, Big Singh Chapati dan San Francisco Coffee. - DagangNews.com