Brunei kenakan caj RM10 untuk keluar masuk Malaysia-Brunei | DagangNews Skip to main content

Brunei kenakan caj RM10 untuk keluar masuk Malaysia-Brunei

Pintu masuk Sarawak-Brunei

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Setiap warganegara Malaysia yang ingin memasuki Brunei Darussalam melalui pintu sempadannya di Sarawak-Brunei akan dikenakan caj RM10 berkuat kuasa 1 Oktober 2020.

Langkah tersebut diambil oleh Kerajaan Brunei bagi mengehadkan jumlah kemasukan warganegara lain ke negaranya susulan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, perkara tersebut sedang dilihat untuk dirundingkan kembali, jelas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Kerajaan Sarawak bersama kerajaan pusat sedang mencari peluang untuk membuat rundingan dengan negera jiran tersebut khususnya dari segi pembayaran.

"Kita menghormati dan akur dengan keputusan Kerajaan Brunei Darussalam.
 

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
 Abang Johari Tun Openg

 

“Namun demikian, kita akan terus berunding untuk mencari jalan bagi mod pembayaran. Perkara ini akan melibatkan rundingan kerajaan pusat kerana ia adalah perihal antara dua negara,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei di Lawas, Sarawak.

Tambah beliau lagi, perkara tersebut akan memberi kesan khususnya kepada rakyat yang sering berulang alik ke negara jiran itu untuk urusan harian.

Perkara tersebut juga telah diusulkan kepada Menteri Kanan merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mencari jalan penyelesaian. 

Usaha tersebut adalah untuk mengelakkan masyarakat terbeban terutamanya mereka yang tinggal di sepanjang kawasan Limbang dan Lawas serta Miri yang perlu berulang-alik ke Brunei. - DagangNews.com