Bersyukurlah dengan apa yang ada.
MELANGKAH dalam ruangan yang baru dalam penulisan kali ini adalah merupakan saat yang getir. Sebenarnya agak kekok bagi saya untuk tampil dalam ruangan ini yang memberikan kebebasan untuk menulis dalam hal-hal rakyat dan politik secara santai seperti yang telah dipesan oleh tuan Editor, Johardy Ibrahim namun inilah yang dinamakan kehidupan. Apapun ini mungkin norma baharu bagi saya.
Apa yang hendak saya sampaikan dalam penulisan pada kali ini ialah menekankan kepada konsep bersyukurlah dengan apa yang kita ada di negara ini.
Seusai habis menjalankan tanggungjawab hakiki saya iaitu mengajar pada pagi tadi, saya menerima teks kiriman WhatsApp dari sahabat saya yang tinggal di New Delhi, India yang bertanya khabar. Banyaklah juga perkara yang dibualkan kami termasuklah juga kesan negatif pandemik Covid-19 yang sedang dialami oleh kita seantero dunia.
Sahabat saya ini pernah tinggal di Malaysia, hampir enam tahun lamanya. Sewaktu berbalas teks Whatsapp, beliau juga ada bertanya tentang perkembangan kes Covid-19 di negara ini.
Saya menjelaskan keadaan pandemik ini semakin terkawal dimana tidak ada kes kematian dicatatkan di dalam negara 2 minggu terus-menerus. You are lucky my friend, you should be grateful. Not like us here. Lantas saya pula bertanya keadaan pandemik ini di negara beliau.
Apa yang diberitahu oleh sahabat saya ini agak mengejutkan. Taburan kes harian Covid-19 di Delhi sahaja menunjukkan bahawa terdapat 2,889 kes sehingga semalam dan kes keseluruhan berjumlah 73,000 kes.
Angka kematian setakat semalam di Delhi berjumlah 65 kes dan angka kematian keseluruhan bagi Delhi mencatatkan sejumlah 2,623 orang. Jika dilihat kepada angka keseluruhan di negara India, sebanyak 548,914 kes telah dicatatkan manakala sejumlah 16,489 kes kematian telah pun dicatatkan di sana.
Sesungguhnya angka-angka pandemik Covid-19 yang telah dicatatkan di Delhi ini sangatlah menggerunkan. India sebagai sebuah negara yang mempunyai populasi penduduk yang terbesar di dunia selain daripada China juga telah mengambil beberapa pendekatan konvensional sama seperti yang telah dilakukan Malaysia.
Walaupun lockdown ataupun perintah berkurung dilakukan di Delhi, namun ia masih tidak dapat menghalang daripada pandemik ini merebak dengan cepat. Masalah kekurangan katil di hospital di Delhi juga turut berlaku apa infrastruktur kesihatan yang sedia ada tidak lagi dapat menampung peningkatan kes yang naik secara mendadak di wilayah itu.
Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengucapkan rasa bersyukur dengan apa yang ada dan apa yang telah berlaku di negara kita pada hari ini. Walaupun ketidaktentuan negara yang berdepan dengan krisis kepimpinan berlaku pada dua bulan pertama tahun 2020, keadaan yang sudah kembali reda selepas 8 Mac 2020 melalui tindakan proaktif yang telah diambil oleh pihak kerajaan tepat pada masanya.
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan sejak 18 Mac 2020 hinggalah dilanjutkan ke hari ini ternyata ia telah memberikan kesan yang baik dari pelbagai sudut. Menguruskan krisis seperti pandemik Covid-19 dan juga menguruskan kemelesetan ekonomi negara adalah cabaran terbesar yang telahpun dilakukan dengan baik oleh pihak kerajaan.
Kegelisahan rakyat apabila PKP dikuatkuasakan selama hampir tiga bulan sedikit “terubat” apabila pengumuman demi pengumuman dilakukan oleh pihak kerajaan. Antaranya ialah keputusan kerajaan membenarkan wang caruman dari akaun KWSP dikeluarkan dari simpanan dengan tujuan meringankan beban rakyat.
Ia disusuli pula langkah kerajaan mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan disamping memperkenalkan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang banyak memberikan manfaat kepada seluruh segenap lapisan masyarakat.
Untuk menantikan pandemik ini akan berakhir mungkin tidak akan kita ketahui kesudahannya selagi vaksin atau penawar bagi penyakit ini tidak ditemui. Negara harus bergerak kehadapan dan rakyat sepatutnya juga tidak harus paranoid dengan kewujudan pandemik ini.
Dalam keadaan hari ini, kita haruslah mengucapkan rsa syukur dengan apa yang ada dan sedang berlaku di negara kita. Apa yang sedang berlaku hari ini ialah sektor ekonomi juga sudah mula untuk bergerak dalam skala yang perlahan dan dalam proses untuk bermula semula.
Seperti yang telah disarankan oleh salah seorang menteri, rakyat perlu berbelanja bagi memastikan segala perancangan kerajaan yang dirancang untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara dapat bergerak dengan baik. Ayuh, bangunlah Malaysiaku. – DagangNews.com
Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. Penulis adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia.
*Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan bukan mewakili DagangNews.com