DIRGAHAYU MALAYSIAKU | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
BUAH PIKIOR - 09 Jul 2020 08:31 AM

Dirgahayu Malaysiaku

 

Sewaktu minum kopi dan bersarapan di awal pagi tadi, saya terlihat seorang pelajar memakai baju dengan tulisan “Gunakan Hak Berfikir Sebelum Hak Bersuara”.
 

Saya kemudiannya memanggil pelajar ini untuk minum sekali tetapi beliau menolak dengan hormat kerana beliau ada temujanji dengan penyelianya.  Pada saya, tulisan pada baju tersebut mempunyai mesej yang jelas. Apa saja yang hendak disampaikan atau hendak diperkatakan mestilah rasional serta sudah difikir sedalam-dalamnya terhadap apa perkara yang hendak disampaikan.

 

jata


Apa yang hendak saya sampaikan pada tulisan kali ini adalah berkaitan dengan insiden penghinaan Jata Negara atau Coat of Arms yang telah berlaku di negara kita yang sebenarnya sangat-sangat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.


Secara peribadinya, saya berpendapat bahawa perbuatan menghina Jata Negara bolehlah dianggap sebagai perlakuan yang menghina negara kita sendiri. Jika diperhatikan, insiden penghinaan Jata Negara kali ini adalah merupakan siri rentetan kepada beberapa insiden penghinaan melampau yang telah berlaku terhadap apa sahaja lambang yang melibatkan identiti negara seperti bendera Malaysia sebelum ini.


Isu bendera terbalik yang dipasang di beberapa premis seperti sekolah, premis persendirian di negara ini sebelum ini menggambarkan bahawa mereka yang terlibat ini sebagai warga negara yang biadap dan tindak bertanggungjawab. Menghina bendera negara sendiri dengan pelbagai-bagai cara seolah-olah seperti tidak sensitif terhadap identiti kebangsaan dan memperkecilkan kedaulatan negara.


Pernah juga pada satu ketika ada juga sebilangan kecil warga negara kita yang telah mewarnakan bendera negara dengan warna hitam dan kemudiannya bergambar beramai-ramai lalu memuat naik gambar tersebut di laman-laman media sosial. Jadi, pada pandangan saya ketiga-tiga golongan ini iaitu mereka yang menghina Jata Negara, menterbalikkan bendera Malaysia dan juga mewarnakan warna hitam bendera negara merupakan satu perbuatan yang tidak boleh diterima akal, tidak bertamadun dan sangat biadap.


Isu penghinaan Jata Negara atau apa sahaja imej yang berkaitan tentang negara bukanlah hanya berlaku di negara ini malahan  juga turut berlaku di seluruh dunia. Pendek kata, negara-negara besar di dalam dunia seperti China, India dan Rusia juga turut menghadapi masalah yang sama. Negara lain seperti Romania, Poland, Kenya juga tidak terlepas dari menghadapi insiden yang sama.


Rusia umpamanya pada tahun 2019 telah menguatkuasakan undang-undang untuk menghalang kandungan internet yang mengandungi unsur menghasut masyarakat, simbol negara dan institusi kerajaan.


Sesiapa sahaja yang terlibat dalam menyebarkan kandungan internet yang menghasut juga boleh dikenakan hukuman denda dan penjara. Selain Rusia, India juga turut mengenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga tahun sekiranya didapati bersalah menghina bendera negara.


China juga tidak terlepas daripada penghinaan bendera negara itu sendiri apabila tindakan akhbar The Daily Telegraph di New South Wales yang menyiarkan artikel yang memasukkan imej virus COVID-19 di dalam bendera negara China telah dilakukan pada tarikh 22 April yang lalu. Ia kemudiannya dibantah Konsulat China di Sydney yang dizahirkan melalui nota bantahan kepada syarikat akhbar itu dan meminta The Daily Telegraph memohon maaf secara terbuka. Tidak mustahil, apa yang telah berlaku di Australia terhadap negara China boleh juga berlaku terhadap negara kita. 

virus
Jata negara China yang perisainya dilukis menyerupai imej virus Coronavirus oleh akhbar Australia, The Daily Telegraph pada 22 April 2020.


Berdasarkan insiden-insiden yang telah berlaku di dalam negara ini, sudah tiba masanya pihak-pihak berwajib di dalam negara ini bertindak dengan lebih tegas lagi. Pindaan undang-undang yang lebih berat dan tegas perlu dilakukan terhadap mereka yang berani menghina apa sahaja objek yang berkaitan dengan negara kita ini.


Secara peribadi, saya berpandangan bahawa memupuk semangat cintakan negara ini melalui perlakuan menghormati bendera negara, jata negara dan lagu kebangsaan haruslah bermula dari rumah dan kemudiannya dibudayakan di sekolah, universiti dan pejabat-pejabat kerajaan.


Seingat saya, di negara jiran kita Thailand umpamanya, setiap hari lagu kebangsaan mereka akan dimainkan di tempat awam dua kali sehari iaitu pada jam  pagi dan 6 petang dan apabila lagu kebangsaan ini dimainkan, semua akan berdiri tegak dan menghormati lagu tersebut.


Sudah tiba masanya, kita patut mencontohi  Thailand agar menghormati negara ini dapat dijadikan budaya disamping dapat memupuk rakyat menyemai perasaan cinta dan sayangkan negara. Dirgahayu Malaysiaku.   

 

 

 

Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. Penulis adalah Felo Penyelidik, Institutt Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia. 

 

*Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan bukan mewakili DagangNews.com